ANTARA artis yang menjayakan Rumah Terbuka Aidilfitri Artis Utara. FOTO Ihsan Zeel Production
ANTARA artis yang menjayakan Rumah Terbuka Aidilfitri Artis Utara. FOTO Ihsan Zeel Production
Sudirman Mohd Tahir


RUMAH Terbuka Aidilfitri Artis Utara membabitkan artis kelahiran Kedah dan Perlis yang diadakan di Laman Budaya, Kompleks JKKN Perlis petang hari ini diserbu lebih 3,000 peminat.

Penganjur yang juga penerbit, Fadzil Teh berkata, acara yang memasuki tahun kedua itu disifatkan berjaya dan lebih meriah daripada tahun lalu.

“Alhamdulillah, majlis hari ini berjalan lancar. Dari jam 2 petang lagi peminat dan penduduk sekitar tidak putus datang.

“Malah, makanan yang disediakan juga habis awal sebelum majlis berakhir. Bagi saya, ia sesuatu di luar jangkaan dan bersyukur atas sambutan ini.

“Saya nak berterima kasih kepada semua artis yang memberikan kerjasama dari awal hingga majlis berakhir. Tidak ketinggalan beberapa pihak yang sudi menaja bagi melancarkan lagi majlis,” katanya kepada Harian Metro.

Antara artis terbabit adalah Rita Rudaini, Khai Bahar, Fendy Bakry, Mustaqim Bahadon, Bella Nazari, Ezany, Aweera, Nafiez Zaidi dan ramai lagi.

Fadzil yang juga penerbit syarikat Zeel Production Sdn Bhd berkata, penyanyi Khai Bahar juga turut menghiburkan tetamu dengan beberapa lagu.

“Artis yang hadir semua ‘sporting’. Mereka sanggup tak makan demi melayan peminat yang nak bergambar.

“Peminat pula ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata nak memeriahkan majlis ini. Insya-Allah, tahun depan kami buat lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 9:29 PM