JAMAL Abdillah. FOTO Arkib NSTP
JAMAL Abdillah. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah yang dijadual berlangsung pada 29 Oktober ini di Dewan 2020, Kangar, Perlis, ditunda.

Penerbit yang juga penganjur Zeel Productions iaitu Fadzil Teh berkata, penundaan itu dibuat selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijalankan.

"Kami memohon maaf atas kesulitan dan mengucapkan jutaan terima kasih buat rakan media yang membantu menghebahkan berita mengenai konsert ini," katanya.

Menurut Fadzil, mereka yang sudah membeli tiket boleh membuat tuntuan bayaran semula.

"Kepada semua pembeli tiket mereka boleh membuat tuntutan bayaran semula dengan menghubungi nombor diberikan," katanya.

Konsert sulung yang juga buah tangan pertama Zeel Productions itu dibuat bagi memartabatkan budaya negeri Perlis sekali gus memperkenalkan lagi kepada masyarakat yang masih belum tahu.

Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah turut menampilkan barisan penyanyi jemputan lain seperti Khai Bahar, Wany Hasritq, Amir Masdi, Aweera dan Amelina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 11:33 PM