Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Khai Bahar mendapat hadiah kerusi urut yang dianggarkan berharga RM4,000 sempena sambutan ulang tahun ke-25, kelmarin.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, hadiah itu diberikan oleh ahli kelab peminat Khai Bahar Empire Singapura (KBE Singapura).

Katanya, dia tidak menjangka sama sekali mendapat hadiah kerusi urut yang difahamkan dibeli hasil perkongsian 40 ahli KBE Singapura serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka.

KHAI Bahar tidak menjangka mendapat hadiah kerusi urut hasil perkongsian peminat Singapura pada majlis hari jadinya semalam. FOTO Ihsan Khai Bahar
KHAI Bahar tidak menjangka mendapat hadiah kerusi urut hasil perkongsian peminat Singapura pada majlis hari jadinya semalam. FOTO Ihsan Khai Bahar

“Bagi saya, ini hadiah yang sangat bagus. Memang sesuai untuk saya yang sentiasa padat dengan jadual.

“Mungkin mereka faham kerja saya yang sibuk. Sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk merehatkan badan.

“Apa pun, saya menganggap setiap hadiah diberikan peminat sempena hari jadi atau pada bila-bila waktu sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Sebelum menjadi artis tidak pernah pun dapat hadiah mewah dan dalam kuantiti banyak,” katanya kepada Harian Metro.

Khai yang ditemui pada sambutan hari jadi anjuran Khai Bahar Empire semalam berkata, pada usia sekarang fokus utamanya adalah ingin membahagiakan kedua ibu bapa dan adik-beradik.

“Dalam kerjaya, saya ingin memajukan lagi diri. Saya tidak mahu berada pada tahap sama. Setiap komen dan kritikan diterima saya anggap motivasi dalam menjadikan diri lebih baik.

“Saya juga tidak akan berhenti untuk berusaha. Saya sedar ramai yang ingin melihat saya berjaya terutama dalam kalangan peminat. Jadi, saya akan cuba sehabis baik ditambah pula dengan sokongan padu daripada mereka.

“Untuk diri sendiri pula, saya mahu memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada keluarga dulu. Banyak lagi yang saya ingin buat untuk mereka. Bagi saya, tanpa sokongan mereka saya tidak akan berada di sini,” katanya.

Ditanya soal mencari pasangan dan seterusnya berumah tangga, Khai mengakui belum terfikir ke arah itu.

“Saya masih muda. Masih banyak yang ingin dibuat dan dicapai terutama dalam kerjaya. Bagi saya, belum sampai waktu mahu fikir soal kahwin.

“Malah, pada usia sekarang dan secara peribadi saya berasakan belum cukup matang untuk memberi komitmen dalam perkahwinan. Jadi, saya belum bersedia ke arah itu.

“Saya takut tak boleh nak uruskan dengan baik. Disebabkan itu, saya tidak mahu terburu-buru. Insya-Allah, kalau ada jodoh tak ke mana,” katanya.

Pada majlis bertemakan retro itu, 200 peminat hadir dari dalam dan luar negara.

Lebih istimewa, ia turut dihadiri ibu dan adik-beradik Khai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 3:11 PM
KHAI Bahar bersama ahli kelab peminatnya pada sambutan hari lahir yang ke-25 tahun semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
KHAI Bahar bersama ahli kelab peminatnya pada sambutan hari lahir yang ke-25 tahun semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman