Kontinjen perbarisan dan perarakan Zeel Productions
Kontinjen perbarisan dan perarakan Zeel Productions
Hj Zil bersama kru dan barisan artis terbabit. Foto Ihsan Zeel Productions
Hj Zil bersama kru dan barisan artis terbabit. Foto Ihsan Zeel Productions
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Perasaan bangga dan teruja hingga sekarang." Demikian kata Penerbit terkenal, Fadzil Teh atau mesra disapa Hj Zil apabila dia menerusi syarikat penerbitan miliknya, Zeel Productions dijemput menyertai Majlis Perbarisan Dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis 2023 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, pada 30 Ogos lalu.

Fadzil berkata, itu adalah jemputan kali pertama pihak kerajaan Negeri Perliis kepada artis kelahiran negeri itu termasuk dirinya. Antara artis lain terbabit adalah, Rita Nadira, Aniq Suhair, Azza Elite, Lydiawati, kru produksi Zeel Productions dan ramai lagi.

"Pertamanya, saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis kerana menjemput Zeel Productions dan barisan artis lain untuk terbabit sama bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri Perlis tahun ini.

"Sejujurnya, ini adalah pengalaman yang cukup indah dan penuh bermakna buat kami semua terutamanya anak seni yang berasal dari Perlis. Jemputan dan kepercayaan diberikan membuatkan kami berasa lebih dihargai," katanya.

Hj Zil bersama Rita Nadira.
Hj Zil bersama Rita Nadira.

Menurut Fadzil, penyertaan itu juga membuktikan Kerajaan Negeri sangat prihatin dan memandang tinggi anak seni sekali gus mendukung aktiviti kesenian dijalankan di negeri itu.

"Macam saya, boleh dikatakan setiap drama yang diterbitkan mesti menjalankan penggambaran di sekitar Perlis. Bukan apa, ini juga antara cara kami nak mempromosikan lokasi pelancongan yang ada di Perlis.

"Sebenarnya, di Perlis ada banyak lokasi dan tempat menarik untuk dikunjungi. Tidak rugi jika datang melancong dan membawa keluarga bercuti. Murah dan tenang juga," katanya.

Selain itu, Zeel Productions bersama Perlis Got Talent turut diberi masa 10 minit untuk membuat persembahan pembukaan pada malam itu.

"Mereka yang terbabit seperti kumpulan tarian, Abtata, penyanyi Anuar Hanizan dan ramai lagi. Semua mendapat tepukan gemuruh. Memang sangat bangga dan terharu.

"Saya juga mahu membawa lebih ramai artis terutama artis Perlis seperti Rita Rudaini, Fasha Sandha, Khai Bahar dan lain-lain jika diberi peluang lagi tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 1:24 PM