MAMAT Khalid semakin sihat dan boleh menerima kunjungan tetamu. FOTO Arkib NSTP
MAMAT Khalid semakin sihat dan boleh menerima kunjungan tetamu. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“ALHAMDULILLAH, saya sudah semakin sihat dan mampu menunaikan ibadat puasa pada Ramadan kali ini.

“Saya juga buat solat Tarawih di rumah saja kerana masih berkerusi roda.

“Cuma ibadat puasa kali ini agak mencabar kerana badan masih lemah,” kata pengarah popular Mamat Khalid, 56, ketika ditanya perkembangan kesihatannya ketika ini.

Menurut Mamat, dia kini berehat di kediamannya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak bersama keluarga.

“Saya juga masih menjalani rawatan fisioterapi seperti ditetapkan doktor.

“Saya masih berkerusi roda kerana otot kaki mengecut selepas tiga minggu koma sebelum ini.

“Menurut doktor, ia terpulang kepada usaha saya untuk kerap buat fisioterapi bagi membolehkan kembali berjalan semula,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai juadah kegemaran ketika berbuka pula, kata Mamat, antara menu wajib adalah ikan pekasam dan sambal tempoyak.

“Kuih-muih pula selalunya dibeli isteri di bazar Ramadan yang menawarkan banyak pilihan.

“Saya juga hanya makan sajian yang lebih ringan seperti roti atau spageti untuk bersahur,” katanya.

Mengulas dakwaan dirinya tidak menerima kunjungan orang ramai yang mahu melawat sebelum ini, Mamat berkata, dia tidak mahu mereka terutama peminat melihat keadaannya yang sakit ketika itu.

“Ketika dirawat di hospital dan selepas sebulan pulang ke rumah, saya memang tidak mahu berjumpa orang kerana tidak mahu mereka melihat keadaan saya yang sakit ketika itu.

“Kini, saya sudah semakin sihat dan boleh menerima kunjungan tetamu,” katanya.

Terdahulu, pengarah filem Hantu Kak Limah itu dimasukkan ke hospital swasta pada awal tahun ini kerana komplikasi jantung dan buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 3:32 PM