Khairulmizan Yahya

Kuantan: Sebagai ketua keluarga, Ramli Mamat, 59, sanggup berkorban apa sahaja termasuk berhenti kerja demi menjaga isterinya dan anak bongsu orang kurang upaya (OKU) yang turut menghidap penyakit 'kaki gajah'.

Isterinya, Murni Md Daud, 58, mengalami masalah radang sendi kedua belah kakinya sehingga tidak mampu berjalan sejak tiga tahuh lalu.

Manakala, anak bongsunya Mohammad Arif Hakimi, 21, pula disyaki menghidap penyakit 'kaki gajah' selepas kaki kirinya semakin membesar sejak berusia 12 tahun.

Selain anak bongsu, anak kelima Ramli, Nor Aliah Safiah, 23, juga OKU pendengaran dan tinggal bersamanya.

Ramli berkata, dia sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang cuci di sebuah resort di Cherating, di sini, namun terpaksa berhenti kerja pada awal Januari tahun lalu.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga isteri dan anak bongsu kerana isteri tidak lagi mampu menguruskan anak bongsu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Palas, dekat Cherating, di sini, hari ini.

Bapa kepada enam anak itu berkata, keadaan anak bongsunya yang dilahirkan OKU bertambah sukar apabila dia turut diserang penyakit 'kaki gajah' berkenaan.

"Doktor mengesyaki anak saya menghidap penyakit kaki gajah (elephantiasis), tetapi ujian darahnya tidak mengesan cacing (filaria) yang menjadi punca penyakit terbabit.

"Setiap kali dia demam, kaki kirinya akan menjadi merah dan membesar, malah penyakit itu juga merebak ke kedua-dua matanya sehingga dia kini hampir buta," katanya.

Ramli Mamat, 59, (kanan) melihat keadaan kaki anak bongsunya, Mohammad Arif Hakimi, 21, (baring) sambil diperhatikan isterinya, Murni Md Daud, 58, (berkerusi roda) dan anak kelimanya, Nor Aliah Safiah, 23, di rumah mereka di Kampung Bukit Palas, Cherating. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA
Ramli Mamat, 59, (kanan) melihat keadaan kaki anak bongsunya, Mohammad Arif Hakimi, 21, (baring) sambil diperhatikan isterinya, Murni Md Daud, 58, (berkerusi roda) dan anak kelimanya, Nor Aliah Safiah, 23, di rumah mereka di Kampung Bukit Palas, Cherating. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila Mohammad Arif sering meronta, namun dia tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan anaknya berkelakuan seperti itu.

"Kami tidak tahu sama ada dia meronta kerana kesakitan atau bukan memandangkan dia tidak boleh bertutur dengan normal.

"Selain itu, saya juga menguruskan rutin hariannya termasuk menyuapkan makan, mandi serta memakai lampin kerana dia tidak mampu mengurus diri sendiri.

"Dalam masa sama, saya juga menguruskan isteri yang hanya berkerusi roda, namun turut dibantu oleh anak-anak yang lain," katanya.

Katanya, dia kini buntu memikirkan masa depan keluarganya kerana tiada pendapatan dan hanya bergantung pada wang simpanan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7036390629 atas nama Ramli Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 4:38 PM