SAZZY kurangkan aktiviti seni sepanjang Ramadan.
SAZZY kurangkan aktiviti seni sepanjang Ramadan.
Ramlah Zainal


SEPANJANG Ramadan ini, pelakon dan pengacara Sazzy Falak lebih banyak berehat daripada aktiviti seni untuk memberi tumpuan terhadap ibadat puasa dan program amal bersama rakan selebriti iaitu Celepets (Celebrities With Pets Project).

Menurut Sazzy, 38, dia juga banyak meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan mendidik dua anak kembarnya, Tiara dan Iman yang berusia lapan tahun berpuasa.

“Mereka mula belajar berpuasa tahun lalu dan berjaya puasa penuh selama 14 hari hasil galakan nenek mereka. Tahun ini nenek mencabar mereka untuk berpuasa 15 hari atau lebih daripada tahun lalu. Setakat ini, mereka berjaya menyahut cabaran itu,” katanya.

Bagaimanapun, Sazzy tidak memaksa dua anak kembarnya itu berpuasa penuh sebulan kerana mereka baru berusia lapan tahun.

“Maklumlah, mereka belajar di sekolah aliran Cina dan agak sukar untuk mereka berpuasa penuh selama sebulan. Selain mengajar mereka berpuasa, saya juga pastikan mereka bangun bersahur bersama keluarga.

“Selalunya, saya hanya panaskan makanan yang dimasak pembantu rumah untuk kami sekeluarga bersahur. Contohnya, anak suka makan kari ayam dengan roti canai ketika bersahur,” katanya.

Mengenai juadah ketika berbuka pula, Sazzy berkata, dia tetap menyukai makanan Melayu sejak dulu.

“Berbanding tahun lalu, kali ini saya agak sibuk dengan komitmen kerja dan perniagaan hingga tidak sempat berkunjung ke bazar Ramadan,” katanya.

Pada masa sama, kata Sazzy, dia juga mendidik anaknya supaya tidak melakukan pembaziran.

“Saya jarang berbuka puasa di hotel kerana bagi saya Ramadan adalah bulan untuk kita berjimat dan membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Raikan Syawal secara sederhana

Seperti tahun sebelumnya, Sazzy juga meraikan Syawal secara sederhana bersama keluarganya.

Sazzy berkata, dia dan suaminya, Nazril Idrus tidak membeli baju raya baharu kerana masih banyak baju lama yang masih elok untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.

“Ada juga baju lama yang sudah dijual untuk aktiviti amal sebelum ini. Pada masa sama, saya juga banyak dapat tajaan daripada pereka fesyen dan boleh digayakan pada pagi raya,” katanya.

Sazzy berkata, dia juga berbelanja dengan bijak untuk mengelak pembaziran pada sambutan Aidilfitri yang sudah menjadi tradisi setiap tahun.

“Saya akan membeli baju yang saya benar-benar suka dan boleh dipakai lama. Persediaan baju raya juga lebih pada anak dengan dua hingga tiga pasang seorang,” katanya.

Sazzy berkata, dia juga mendidik anak mengenai pengertian Aidilfitri yang sebenar.

“Aidilfitri adalah masa untuk bersama keluarga sekali gus mengeratkan hubungan sedia ada. Kita juga tidak boleh membazir pada Aidilfitri kerana masih ramai golongan yang kurang bernasib baik memerlukan pembelaan sewajarnya,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di kampung suaminya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Pada pagi raya kami di Port Dickson. Selepas itu akan kembali ke Ampang dan Damansara Heights untuk bersama keluarga sebelah saya pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:30 AM