SYAFIQ kini banyak meluangkan masa bersama keluarga terutama memantau perkembangan kesihatan ayahnya. FOTO Saifullizan Tamadi
SYAFIQ kini banyak meluangkan masa bersama keluarga terutama memantau perkembangan kesihatan ayahnya. FOTO Saifullizan Tamadi
Ramlah Zainal


“ALHAMDULILLAH, keadaan ayah semakin baik tetapi dia masih lagi berkerusi roda.

“Ayah juga masih menjalani fisioterapi seperti diarahkan doktor dalam usaha untuk membolehkannya berjalan semula,” kata pelakon popular Syafiq Kyle ketika mengulas perkembangan kesihatan bapanya kini.

Menurut pelakon drama Nur itu, dia dan keluarga juga perlu meyakinkan ayahnya, Abd Razak Husin, 55, untuk lebih bersemangat ketika menjalani rawatan fisioterapi yang ditetapkan.

“Keluarga juga mengambil seorang pakar fisioterapi untuk membantu ayah supaya banyak bergerak setiap hari.

“Namun, ia bergantung kepada semangat ayah sendiri untuk meneruskan rawatan supaya dapat berjalan semula,” katanya.

Ditanya peluang untuk ayahnya pulih sepenuhnya pula, kata Syafiq, dia belum ada jawapannya lagi.

“Doktor beritahu ayah memang ada peluang untuk berjalan semula.

“Tapi ayah perlu banyak bergerak seperti turun dan naik kereta sendiri untuk membantu dia cepat berjalan,” katanya.

Justeru, katanya, dia kini banyak meluangkan masa bersama keluarga terutama memantau perkembangan kesihatan ayahnya pada Ramadan ini.

“Saya tidak risau untuk keluar bekerja kerana ada ibu, Rohaya Sulaiman, 55, dan adik yang membantu menjaga ayah di rumah.

“Kami juga hanya pulang beraya sekejap di kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana mahu ayah lebih banyak berehat di rumah,” katanya.

Dalam laporan Harian Metro sebelum ini, bapa Syafiq terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan di Subang Jaya kerana mengalami pendarahan di bahagian otak pada September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 3:01 PM