SEGALA kontroversi berkaitan filem dan kisah peribadi Raja Azmi sudah lama ditinggalkan. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
SEGALA kontroversi berkaitan filem dan kisah peribadi Raja Azmi sudah lama ditinggalkan. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
Amirul Haswendy Ashari


SEIRING peningkatan usia, Raja Azmi Raja Raja Sulaiman, 59, tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu panas atau kontroversi.

Raja Azmi yang bakal menginjak usia 60 tahun pada Jun ini berkata, dia mahukan kehidupan lebih tenang dan selesa selain lebih serius sebagai penerbit atau pelakon.

“Saya nak orang padam semua tanggapan dan mengaitkan nama Raja Azmi hanya kontroversi semata-mata,” kata penerbit filem kontroversi, Dalam Botol pada 2011, Haru Biru (2007), Cinta 200 Ela (2001) dan Black Widow Wajah Ayu (1994).

Katanya, segala kontroversi berkaitan filem dan kisah peribadinya sudah lama ditinggalkan.

Baginya, sudah tiba masa untuk teruskan kehidupan yang lebih tenang dan selesa selain serius menerbitkan filem pula.

Dia berharap penonton akan kembali mempercayai filem terbitannya sebagai sebuah karya yang ada cerita menarik untuk ditonton, bukan lagi terpanggil kerana timbulnya isu panas.

“Apabila saya mula berlakon, ramai juga mendakwa saya ‘merendahkan’ status penerbit. Bagi saya, ia bukan isu status tapi ia hanyalah sebagai memenuhi ruang minat selain pengalaman.

“Ia juga sebagai cara untuk penonton generasi muda lebih mengenali saya dan tidak terkejut apabila kembali menerbitkan filem baharu,” katanya.

Baginya, seni dan hiburan sentiasa ada di dalam diri walaupun sudah bergelar pelakon, pengarah atau penerbit.

Raja Azmi yang pernah muncul dalam drama Sha & Shah dan Marhaban Kome Oi, berkata, dia pernah disoal beberapa wartawan generasi muda yang tidak mengkaji latar belakangnya sebagai penerbit sebelum ini.

Katanya, mereka hanya tahu mengenai kes kontroversi berkaitan rumah tangga, dakwaan kena tangkap basah dan sebagainya.

“Saya pun tidak boleh salahkan mereka sebab kontroversi mengatasi hasil kerja. Jika diimbas kembali, kebanyakan idea yang difilemkan adalah selangkah ke depan, contohnya isu mak nyah dalam filem Dalam Botol, cuma masyarakat ketika itu belum terbuka untuk menerimanya,” katanya.

Filem baharu mulakan penggambaran 15 April

Selepas kali terakhir menerbitkan filem kira-kira lapan tahun lalu, Raja Azmi kembali ke kerusi penerbit sejak bulan lalu.

“Kali ini saya betul-betul nak menerbit filem dan idea untuk filem bergenre seram ini hasil cetusan menantu, Shadan Hashim.

“Idea filem berjudul Jerangkung Dalam Almari ini diberikan Shadan secara tiba-tiba sekitar November tahun lalu.

“Pada awalnya, dia cuba menerbitkan sendiri tapi malangnya percubaan itu menemui jalan buntu sehinggalah saya cakap, biar saya yang terbitkan,” katanya.

Katanya, urusan penerbitan dipermudahkan apabila bertemu syarikat produksi, North Star Prodigy Pictures Sdn Bhd bersetuju bekerjasama.

Selepas beberapa kali merombak skrip dan perbincangan praproduksi, akhirnya penggambaran filem itu bermula 15 April ini.

Filem bakal menelan belanja RM800,000 ini turut menyuntik elemen kesan khas tersendiri.

“Paling penting jalan ceritanya yang akan menguji perasaan dan hati kita sebagai manusia yang tidak pernah sempurna.

“Saya letak harapan tinggi untuk filem ini dan tidak mahu terlalu berangan-angan. Cuma saya harap orang yang rindu kepada filem saya untuk kembali beri kepercayaan,” katanya.

Filem arahan Shadan menampilkan pelakon baharu dan lama tanah air antaranya Sofia Albarakbah, Wan Hanafi Su, Hasnol Rahmat serta Adi Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 4:30 AM