Raja Azmi. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Raja Azmi. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Amirul Haswendy Ashari


PRODUSER dan penerbit popular, Raja Azmi Raja Sulaiman tidak menafikan akan menghasilkan sekuel bahagian kedua filem kontroversi berjudul ...Dalam Botol yang pernah menggemparkan industri filem tempatan.

"Idea dicadangkan pelakon utama filem itu, Arja Lee yang mahu filem itu dihasilkan bahagian kedua kerana peringkat awal, saya tiada niat pun nak menghasilkan sekuel.

"Tambahan pula, ramai juga yang tanya pasal perkara itu sebab penceritaan sebelum ini tergantung terutamanya selepas watak utama, Ruby dan Ghaus tak jadi berkahwin lalu menghilangkan diri," katanya.

Beliau mendakwa, peminat filem itu tidak tahu apa berlaku kepada mereka selepas itu dan penghasilan sekuel adalah jawapan terbaik setakat ini untuk merungkai penyelesaian dalam penceritaan cinta terlarang kedua watak itu.

Pengarah filem Enjin No 9 ini akui Arja turut menyatakan kesudian untuk membantu mencari pelabur yang sudi melabur ke dalam filem itu malah menjadikan beliau sebagai penerbit bersama.

"Saya kata, besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan dan saya setuju.

"Saya mahu kekalkan barisan pelakon asal sebab mereka sudah faham dengan jalan cerita," katanya dihubungi, hari ini.

Beliau mengalu-alukan pelabur tempatan yang berminat menerbitkan filem itu secara bersama.

Katanya, sebaik saja ada pelabur tempatan yang berminat, penggambaran filem dapat dijalankan seawal penghujung tahun ini.

Filem ...Dalam Botol adalah filem terbitan Raja Azmi yang ditayangkan kepada umum di Malaysia pada 24 Mac 2011.

Filem arahan sulung Khir Rahman itu menampilkan Wan Raja, Arja Lee dan ramai lagi mendapat perhatian kerana menjadi filem tempatan pertama bertema homoseksual dan transeksual yang berjaya ditayangkan di pawagam arus perdana negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 2:17 PM