ARJA Lee. FOTO Instagram Arja Lee
ARJA Lee. FOTO Instagram Arja Lee
Ramlah Zainal


MESKIPUN pernah mencetuskan kontroversi, pelakon Arja Lee tidak gentar untuk menerbitkan filem Anu Dalam Botol 2.

Menurut pemilik nama sebenar Azharudin Ramli, 35, yang bukan saja penerbit dan penulis skrip, dia juga akan beraksi selaku watak utama dalam filem memaparkan hubungan sejenis itu.

“Apa yang menarik, filem Anu Dalam Botol 2 ini membabitkan kolaborasi dari Malaysia dan Indonesia.

“Antara yang terbabit dalam penerbitan filem Anu Dalam Botol 2 ialah Rozi Rashid dan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

“Hubungan saya dan penerbit filem Raja Azmi juga masih baik dan kali ini, saya melantiknya sebagai penasihat untuk filem ini,” katanya kepada Harian Metro.

Arja juga percaya, sampai masanya dia menerbitkan filem Anu Dalam Botol 2 itu.

“Pada pemerhatian saya, orang kita sudah boleh menerima kehadiran golongan seperti ini dalam masyarakat.

“Bukan kita mengagungkan mereka tetapi masyarakat kini sudah terbuka menerima golongan itu.

“Sebagai penerbit, saya juga mahu buktikan filem ini berkualiti dan memberi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai kos pembikinan filem Anu Dalam Botol, kata Arja, dia sudah memohon dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Finas dan perlu mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Diminta mengulas watak Ghaus yang pernah dilakonkan Wan Raja dalam Anu Dalam Botol dulu, kata Arja, dia masih mencari pelakon sesuai untuk melakonkan watak terbabit.

“Wan Raja tidak berlakon dalam filem ini kerana wataknya akan digantikan pelakon lain.

“Mungkin Nur Sajat Kamaruzzaman juga akan berlakon dalam filem ini nanti,” katanya yang kini menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Teater Psikologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 4:47 PM