AYU (berbaju biru) bersama barisan artis, tetamu VIP dan pelajar tahfiz Darus Syabab.
AYU (berbaju biru) bersama barisan artis, tetamu VIP dan pelajar tahfiz Darus Syabab.
Amirul Haswendy Ashari


Terpanggil untuk membantu membersihkan nama sebuah pusat tahfiz berdepan dengan isu negatif tahun lalu, penerbit Pencil Pictures & Records, Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di pusat tahfiz itu, baru-baru ini.

Ayu berkata, tahun lalu pusat tahfiz Darus Syabab yang beroperasi di Kepong, Kuala Lumpur pernah berdepan kontroversi apabila pengetuanya didakwa atas tuduhan meliwat beberapa pelajar.

Namun, hasil siasatan polis mendapati beliau tidak bersalah dan dibebaskan.

Berikutan kejadian itu, pusat tahfiz berkenaan berdepan pelbagai tohmahan masyarakat, malah pengetuanya mengalami tekanan perasaan hingga hampir menutup operasi.

“Alhamdulillah, sejak Januari lalu, ia kembali mendapat kepercayaan ibu bapa dan kini beroperasi seperti biasa. Selepas kes tular itu selesai, pengetua itu masih berjuang dan tidak mengenali putus asa bagi meneruskan perjuangan mendidik anak tahfiz.

“Sesungguhnya fitnah Dajal itu sangat dahsyat, cuma masih ada segelintir masyarakat yang belum memberi kepercayaan sepenuhnya lantas saya terfikir untuk membantu dengan cara sendiri,” katanya.

SIMPAN IMPIAN

Dalam pada itu, Ayu turut menyimpan impian menubuhkan pusat tahfiz sendiri pada masa depan.

“Doakan semoga impian saya terlaksana,” katanya.

Ayu yang bakal menerbitkan dua filem berjudul Ada Apa Dengan Dosa dan Autumn In Wales: Cinta Mesti Menang penghujung tahun ini turut meminta masyarakat jangan cepat menghukum seseorang kerana ia mampu mengundang fitnah.

Ia termasuk pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa, Pencetus Ummah (PU) Riz yang baru ditimpa kontroversi berkaitan foto bogel miripnya, baru-baru ini.

Ayu tidak menafikan kontroversi menimpa pelakon itu sikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan promosi filem itu kelak.

“Bagaimanapun, saya percaya dia adalah mangsa fitnah kerana saya mengenalinya sebagai seorang pelakon yang sangat menjaga adab dan agama termasuk ketika berlakon. Saya berdoa semoga dia dapat menempuhi ujian ini dengan tenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 5:00 AM