Adi Putra hadir pada malam tayangan perdana Jerangkung Dalam Almari di GSC Tropicana Gardens Mall. FOTO AZIAH AZMEE
Adi Putra hadir pada malam tayangan perdana Jerangkung Dalam Almari di GSC Tropicana Gardens Mall. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit filem Jerangkung Dalam Almari, Raja Azmi meletakkan harapan tinggi untuk filem genre seram itu yang bakal ditayangkan pada 4 Ogos ini selain mengharapkan 'magis' pelakonnya, Datuk Adi Putra yang ketika ini mencetus fenomena dengan watak Mat Kilau.

Raja Azmi ketika ditemui berkata, dia sangat berharap dan ingin berkongsi tuah Adi.

"Saya berdoa agar filem seram ini mendapat 'serpihan' tuah daripada aura filem Mat Kilau itu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai sasaran kutipan, Raja Azmi tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi seperti mana filem Mat Kilau :Kebangkitan Pahlawan yang mencecah lebih RM90 juta.

"Saya takut nak sebut angka kutipan yang saya sasarkan sebab saya tak mahu menjanjikan apa-apa. Kalau tidak puluhan juta, dapat juta-juta pun cukuplah," katanya.

Raja Azmi juga turut berkongsi bahawa dia belajar daripada pengalaman lalu yang mana tidak lagi menggunakan kuasa vetonya sebagai penerbit untuk memilih pelakon.

"Sebelum ini saya menggunakan kuasa veto saya sebagai penerbit untuk membuat pemilihan pelakon contohnya orang dari dunia sukan dan sebagainya.

"Selepas belajar dari kesilapan, saya kini memberi kuasa kepada pengarah untuk memilih siapa pelakon yang sesuai dan ambil pelakon sebenar," katanya.

Selain Adi Putra, filem arahan Shadan Hashim ini turut menampilkan lakonan Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Amerul Effendi dan Isaac Iman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 12:28 PM