ALTIMET puas apabila konsert  terakhirnya berjalan lancar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ALTIMET puas apabila konsert terakhirnya berjalan lancar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry

TERHARU konsert terakhirnya, The Last Altimet Show memukau 5,000 penonton, Altimet berharap ia menjadi buah tangan terbaik daripadanya untuk peminat.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 40, gembira bercampur sedih kerana konsert yang diimpikan berjaya dan berjalan lancar.

Namun pada masa sama ia perjalanan terakhirnya sebagai penyanyi.

“Saya nekad dengan keputusan bersara sebagai penyanyi dan mungkin selepas ini akan lebih fokus dalam penghasilan lagu. Menyanyi saya boleh tinggalkan, tetapi menghasilkan lagu tidak kerana ia minat saya sejak dulu.

“Malah, selepas ini ada beberapa artis yang menunggu lagu daripada saya dan ada sudah siap dihasilkan,” katanya.

Konsert di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu turut menampilkan 20 rakan artis yang pernah bekerjasama dengan Altimet.

Mereka termasuk Aizat Amdan, Noh Salleh, Illa Damia, Cuurly, Salammusik, Awi Rafael, Adeep Nahar, Tomok, Zizi Kirana dan SonaOne. Tidak ketinggalan juga kumpulan lama Altimet iaitu Teh Tarik Crew.

PERSEMBAHAN Altimet bersama penyanyi undangan, Zizi Kirana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PERSEMBAHAN Altimet bersama penyanyi undangan, Zizi Kirana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Selain mempersembahkan 26 lagu, Altimet turut menyampaikan enam lagu baru daripada album terakhirnya bertajuk O kepada penonton secara ekslusif.

Konsert yang bermula jam 8.45 malam itu dimulakan dengan tayangan klip video berkisar perjalanan awal karier seni Altimet selama 10 tahun dan diikuti dengan lagu Bersamamu duet bersama Cuurly.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Cantik, Alamak, Mambang, Havoc, Bunga, Amboi, Kalau Aku Kaya, Negaraku dan banyak lagi.

Berkongsi mengenai pemilihan PWTC sebagai lokasi konsert, Altimet berkata, ia adalah tempat yang menjadi impian untuknya mengadakan konsert dan tidak sangka mendapat kerjasama yang baik daripada pihak PWTC sendiri.

“Jarang PWTC menganjurkan konsert solo artis dan tidak sangka mereka memberi peluang kepada saya. Rasa sangat terharu kerana untuk konsert terakhir ini apa yang saya harapkan semuanya terlaksana dan berjalan lancar.

TURUT menampilkan 20 rakan artis yang pernah bekerjasama dengan Altimet. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TURUT menampilkan 20 rakan artis yang pernah bekerjasama dengan Altimet. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Terima kasih juga kepada semua ahli kumpulan yang membantu menjayakan konsert ini,” katanya.

Dalam pada itu, selain akan lebih memperbanyakkan belajar mengaji al-Quran selepas ini, Altimet juga turut menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam pengurusan kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) kampus cawangan Kuala Lumpur.

Bagi Altimet ini masanya untuk dia melakukan beberapa perkara yang tidak berkesempatan dilakukan ketika sibuk sebagai penyanyi.

“Alhamdulillah banyak perkara yang tidak sempat dilakukan sebelum ini akan saya buat. Hasrat untuk menyambung pengajian peringkat sarjana muda sudah lama ada cuma kekangan masa menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan.

“Walaupun pengajian hanya separuh masa, saya berharap dapat menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Altimet turut melabur dalam sebuah aplikasi bacaan al-Quran iaitu Recite yang membolehkan pengguna berinteraksi bersama tenaga pengajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 11:41 AM