ALTIMET. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ALTIMET. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina


Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum Altimet meninggalkan statusnya sebagai penyanyi. Namun, sehingga ke saat ini, pelantun lagu Amboi itu sedikit pun tidak memperlahankan rentaknya.

Bakal bersara pada 27 November tahun ini, dia terus giat melaksanakan semua perancangan yang sudah dibuat.

Malah, Altimet juga bakal muncul dengan album terakhir, selain sibuk dengan sesi latihan untuk pementasan teater Ola Bola Muzikal pada bulan hadapan.

Niat Altimet sebelum bersara sebagai penghibur, dia mahu meninggalkan impak pada industri muzik tanah air khususnya dalam genre hip hop dan rap.

Walaupun selepas ini tidak lagi merakamkan lagu mahupun muncul di atas pentas, Altimet akan terus menghasilkan karya untuk penyanyi lain.

Kata Altimet, dia nekad mahu menoktahkan kerjaya nyanyian sejak 2008 lagi. Bermula saat itu, Altimet mengatur perjalanan kariernya tanpa rehat.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk berhenti menyanyi. Sejak itu, saya tidak berhenti daripada terus mencuri peluang untuk menghasilkan lagu mahupun album.

“Dalam tempoh itu juga, saya buat apa yang saya mahu tanpa memikirkan sama ada ia akan berjaya atau tidak. Semakin singkat masa itu, saya bekerja lebih keras menyusun strategi karier.

“Ia umpama seorang pesakit dimaklumkan hanya ada beberapa waktu untuk hidup. Maka, dia pasti akan lakukan semua perkara sebelum menghembuskan nafas terakhir. Begitulah juga dengan saya. Pendek kata ambil semua peluang yang ada,” katanya.

Peminat lagu hip hop menganggap pengunduran Altimet daripada bidang nyanyian satu kerugian besar apatah lagi dia antara penyanyi dan komposer berbakat untuk meneruskan legasi genre berkenaan.

Altimet mengakui, tidak ramai penyanyi rap tempatan yang berjuang mempertahankan genre berkenaan. Namun, dia melihat perkara itu dari sudut positif.

Katanya, mungkin selepas ini lebih ramai penyanyi hip hop akan muncul. Suka atau tidak, penggemar lagu hip hop harus menerima kehadiran mereka.

“Siapa tahu selepas ini lebih ramai penyanyi hip hop yang akan menyerikan dunia muzik tanah air.

“Peminat harus menerima hakikat bahawa tidak ada perkara yang akan kekal lama. Lambat laun, yang baru akan ambil alih dan mencorakkan industri dengan cara tersendiri.

“Buat masa ini, saya nampak Sona One dan Aman Ra mempunyai keunikkan tersendiri. Saya yakin mereka dapat memartabatkan lagi genre hip hop dan rap ke tahap yang lebih baik,” katanya.

ALTIMET. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ALTIMET. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Pemilik nama sebenar Ahmad Abdul Rahman ini sudah pun berkecimpung lebih sedekad dalam arena seni. Walaupun jumlah penyanyi genre itu boleh dibilang dengan jari, dia percaya hip hop akan terus bertahan.

Dengan bilangan penyanyi yang ada, ditanyakan sama ada suatu ketika nanti hip hop dan rap akan mengalami nasib sama seperti irama Malaysia yang semakin suram, Altimet merasakan sebaliknya.

“Bercakap mengenai isu ini, ia terpulang kepada penyanyi itu sendiri. Mereka harus ada rasa tanggungjawab untuk memberikan kelainan agar genre yang diperjuangkan terus berkembang.

“Namun, saya yakin dan percaya penyanyi irama Malaysia sudah cuba dan sedang berusaha keras mencari kelainan untuk membawa genre itu ke posisi tertinggi sama seperti sebelum ini.

“Saya percaya, Sona One dan Aman Ra serta penyanyi hip hop lain dapat memberikan nafas baru dan menghidupkan genre ini,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Amboi, penyanyi itu berkata, pencapaian single berkenaan sudah pun melangkaui harapan dan jangkaannya.

Bakal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) pada Februari depan, Altimet fokus untuk menampilkan persembahan menarik.

“Jarang kita lihat lagu hip hop mara ke pentas besar seperti ini. Saya anggap diri saya sebagai wakil penyanyi genre hip hop, oleh itu saya akan cuba memberikan persembahan terbaik.

“Saya berpuas hati melihat pencapaian lagu Amboi. Ketika menghasilkan lagu ini, saya cuma berharap agar peminat dan pendengar dapat menerimanya dengan baik.

“Bagaimanpun ia melangkaui jangkaan saya apabila Amboi terpilih untuk bertanding dalam AJL 32,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 2:56 AM