ALTIMET: FOTO: Instagram Altimet
ALTIMET: FOTO: Instagram Altimet
Ramlah Zainal


“SAYA bukannya mahu menyindir sesiapa, sebaliknya mahu membantu mereka yang berasa sedih kerana kekurangan diri.

“Saya sendiri pernah melaluinya dulu. Bukan saja berasa rendah diri kerana wajah tidak kacak, saya juga seorang yang pemalu sebelum bergelar anak seni,” kata penyanyi rap popular Altimet mengenai status yang dimuat naik di Instagram membabitkan seseorang yang tidak diendahkan kerana tidak berwajah cantik atau kacak.

Altimet, 41, berkata, dia berharap apa yang ditulis itu dapat membantu memberi semangat kepada golongan muda dan remaja yang memiliki kekurangan dari segi fizikal.

“Ramai golongan remaja berusia 18 hingga 20 tahun meluahkan mereka diejek rakan kerana pendek, gemuk dan tidak berwajah cantik atau kacak.

“Rakan-rakan hanya bercakap mengenai kekurangan diri mereka dan bukannya kelebihan yang mereka miliki,” katanya.

Penyanyi yang dikenali dengan lagu Bunga itu mengakui, dia hanya menyedari hikmah kekurangan dirinya apabila meningkat dewasa.

ANTARA komen netizen yang menyokong status Altimet.
ANTARA komen netizen yang menyokong status Altimet.

“Saya sangat meminati muzik dan dengan mendengar lagu saya dapat menjauhkan diri dari mendekati dadah dan alkohol ketika remaja.

“Dulu saya seorang yang pemalu, tetapi apabila menceburi bidang seni dan menjadi artis, saya dapat mengatasi perasaan malu itu dan dapat bergaul dengan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, kata Altimet, dia juga banyak belajar daripada pelawak Abam ketika menyertai program komedi sebelum ini.

“Abam beritahu saya, kita boleh mengejek atau mengata dia apa saja kerana ia dalam konteks komedi. Menerusi program lawak juga Abam dapat menyara hidupnya dan keluarga,” katanya.

Perkongsian Altimet itu turut mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 3:42 PM