TYA bersama anaknya. FOTO IG  Tya Ariffin
TYA bersama anaknya. FOTO IG Tya Ariffin
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Tya Ariffin yang juga juri program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) berkongsi hamil anak kedua dengan usia kandungan mencecah empat bulan.

Suaminya, Asyraf Khalid, 26, ketika dihubungi berkata, dia dan isteri berdoa dikurniakan anak perempuan selepas yang pertama anak lelaki, Arif Jiwa yang kini berusia setahun sembilan bulan.

“Selepas Arif lahir, kami merancang tak nak tambah anak dulu. Tetapi, selepas dia berusia setahun... kami ubah fikiran. Apatah lagi usia masih muda, jadi kalau nak tambah anak biar pada waktu sekarang.

“Alhamdulillah, Allah berikan rezeki ini untuk kami. Setiap hari kami berdoa semoga dikurniakan cahaya mata perempuan. Kalau dapat sepasang, kira lengkap sudah rumah tangga kami. Malah, ia satu rahmat dan nikmat untuk saya.

“Buat masa sekarang, jantina anak belum tahu lagi. Insya-Allah, pada pemeriksaan seterusnya mungkin sudah boleh tahu. Jika anak lelaki pun, saya tetap bersyukur. Apa yang penting anak yang bakal lahir sihat dan sempurna," katanya kepada Harian Metro.

Asyraf berkata, sekiranya dikurniakan anak perempuan dia dan isteri akan berehat dulu. Jika sebaliknya, mereka akan berusaha lagi.

“Kalau rezeki anak perempuan bolehlah kami berehat panjang dulu. Dalam masa sama, isteri boleh fokus kepada kerjaya di sini dan Indonesia,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi abangnya, Adib Khalid yang berkahwin dengan pelakon Izara Aishah, Asyraf berkata kedua mereka teruja dan tumpang gembira.

“Apabila dapat tahu saya dan isteri nak dapat anak kedua, mereka sangat gembira. Adib dan Izara pun berusaha ke arah itu, cuma belum ada rezeki. Ini semua ketentuan dan ketetapan Allah.

“Selama ini pun mereka sangat rapat dengan Arif dan macam anak sendiri. Jadi, ia bukan satu isu pun.

“Lagi pula saya dan isteri, dari awal berkahwin kalau boleh nak cepat dapat anak dan jadi ibu bapa muda," katanya.

Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin berkahwin dengan Asyraf pada 1 November 2015 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Arif, pada 31 Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 1:53 PM