TYA Ariffin akui ibu mana yang sanggup melihat anak-anak menangis mahu ikut ibu bapa mereka. FOTO Instagram Tya Ariffin
TYA Ariffin akui ibu mana yang sanggup melihat anak-anak menangis mahu ikut ibu bapa mereka. FOTO Instagram Tya Ariffin
Ridzuan Abdul Rahman


   Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Tya Ariffin menafikan meninggalkan dua anaknya menangis di lantai halaman rumah untuk mengejar urusan dunia seperti dakwaan netizen. 

   Artis bernama sebenar Nurtria Wulandari Arifin berkata, disebabkan memikirkan anak-anak jugalah, dia terpaksa menolak tepi karier seni demi misi membantu lebih ramai untuk meraih pendapatan menerusi perniagaan diusahakan.

   "Saya bukan sengaja meninggalkan mereka di rumah, sebaliknya perlu keluar bagi melunaskan komitmen kerja. Namun diakui ibu mana yang sanggup melihat anak-anak menangis mahu ikut ibu bapa mereka.

   "Sukar untuk saya jelaskan situasi ini, tapi apa yang pasti ibu bapa yang turut berdepan dengan perkara yang sama memahaminya. Mujur juga saya tak perlu membiarkan mereka lama-lama di rumah.

   "Sejak saya usahakan produk sendiri iaitu Mutyara, kini ramai yang berjaya saya bantu terutama golongan wanita untuk memiliki sumber pendapatan baik suri rumah, ibu tunggal, dibuang kerja, atau wanita berkerjaya lain yang perlu pendapatan sampingan," katanya. 

   Tya yang pernah membintangi telefilem Bidadari berkata, dia kini mengetepikan seketika kerjaya lakonan kerana mahu terus mengejar misi membantu lebih ramai orang.

   "Sasaran saya pada tahun hadapan adalah dapat membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia pula," katanya.

   Terdahulu, perkongsian Tya menerusi aplikasi Tik Tok mengundang reaksi banyak pihak, sehingga ada warganet mempersoalkan tindakan pasangan suami isteri itu kerana meninggalkan dua orang anak mereka demi mencari rezeki. 

   Tya dan Asyraf yang anak tiri Datuk Sri Siti Nurhaliza berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 5, dan Azzahra Jiwa, 3.

   "Menjadi usahawan juga sebenarnya membuatkan saya kembali jumpa tujuan hidup. Kalau dulu, saya berlakon demi mencari wang untuk ibu bapa saya dan sejak berkahwin, saya tertanya apa lagi tujuan hidup perlu dikejar.

   "Tujuan utama saya menjadi usahawan adalah untuk membina perniagaan jangka masa panjang. Misi utama adalah untuk membantu orang ramai mengecap impian bersama dan berjaya dalam perniagaan," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 7:03 PM