BERENGGANG dengan keluarga keputusan berat buat Izara.
BERENGGANG dengan keluarga keputusan berat buat Izara.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas bertunang pada 7 Julai lalu, pelakon jelita Izara Aishah, 25, dan Muhammad Adib Khalid, 27, selamat disatukan dalam majlis pernikahan yang berlangsung Jumaat lalu.

Tiada apa yang lebih menggembirakan Izara apabila majlis yang dirancang sejak empat bulan lalu berjalan lancar seperti yang diinginkan.

Apatah lagi, menurut Izara dia seorang yang sangat cerewet dalam memastikan majlis perkahwinannya berlangsung sempurna.

“Saya sangat bimbang sekiranya majlis ini kelam-kabut. Alhamdulillah, saya lega apabila semua yang dirancang berjalan lancar. Saya berterima kasih dan memuji hasil kerja perancang perkahwinan GlamWeddings yang menjadikan majlis ini sangat luar biasa dan di luar jangkaan saya.

“Saya bukan cerewet untuk perjalanan majlis saja, tetapi keseluruhan. Mungkin disebabkan saya seorang yang pentingkan kesempurnaan, jadi kalau boleh saya nak semua perkara jadi sempurna. Sikap ini saya dapat daripada ibu,” katanya.

Selesai akad nikah, Izara kelihatan menangis kerana tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih.

Apatah lagi, selepas ini Izara tidak lagi tinggal bersama mereka membuatkan dia berasa susah untuk melepaskan.

“Saya terlalu rapat dengan keluarga dan sangat ambil berat mengenai mereka. Jadi, apabila sudah berkahwin saya perlu tinggal rumah berasingan, sedikit sebanyak ia membuatkan saya sedih.

“Pada masa sama, saya tidak boleh tengok wajah ibu dan adik-beradik lain menangis. Disebabkan hubungan kami terlalu rapat membuatkan perasaan bertambah sedih untuk ‘berpisah’.

“Saya terharu mendapat suami seperti Adib. Saya sangat gembira kerana akhirnya kami sah menjadi suami isteri. Saya berdoa semoga ikatan perkahwinan ini berkekalan hingga ke jannah. Terima kasih Allah kerana menjadikan impian saya satu kenyataan. Semuanya tidak berlaku tanpa keizinan-Nya,” katanya.

Terdahulu Izara dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Percerarain dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor Ustaz Mohd Jazlan Ali di Glam Hall, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Pada majlis itu, Izara menerima mas kahwin RM700 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara Izara membalas dengan tujuh dulang.

Majlis bertemakan klasik moden serta mendapat sentuhan dua budaya Melayu dan Pakistan itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan teman rapat.

Tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berduet dengan adik ipar Adib, Tya Ariffin, Marsha dan Kilafairy.

Antara rakan artis yang hadir ialah Scha Alyahya, Awal Ashaari, Osman Ali, Ghaz Abu Bakar, Zamarul Hisyam, Diana Rafar dan ramai lagi.

Teruskan berlakon

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya selepas ini, Izara berkata, dia akan terus berlakon dan karier berjalan seperti biasa.

“Tidak ada apa yang berubah membabitkan kerjaya seni. Cuma, dari segi masa saja yang ada batasan kerana saya perlu pertimbangkan dan bincang dengan suami apabila menerima sesebuah tawaran. Jika dia okey, saya juga perlu berbincang dengan produksi.

“Mengenai watak pula, ia tidak ada masalah. Sebelum berkahwin lagi saya sudah membataskan diri untuk tidak menjayakan watak yang keterlaluan. Perkara ini antara sebab Adib dan keluarganya selesa dengan saya. Malah, Adib suka dengan prinsip bekerja saya. Mereka percaya apa saya lakukan,” katanya.

Pada masa sama, Izara berkata, fokus dan keutamaan pada keluarga tetap menjadi nombor satu sama seperti sebelum berkahwin.

“Keluarga tetap nombor satu. Malah ketika masih bujang pun, saya tidak pernah membelakangkan mereka. Jadi, selepas berkahwin tanggungjawab dan keutamaan saya bertambah lagi.

“Status berkahwin juga tidak menghalang saya untuk terus bekerja. Insya-Allah, saya bakal terbabit dalam drama bersiri panjang yang memulakan penggambaran bulan depan,” katanya.

Mengenai percutian bulan madu, Izara dan suami belum ada sebarang perancangan. Cuma, Izara berkongsi mereka mungkin memilih kawasan pantai.

“Kami belum rancang lagi nak ke mana. Memandangkan kami sukakan kawasan pantai, mungkin tempat sebegini jadi pilihan. Lagi pula, sudah terlalu lama kami tidak berehat dan bercuti.

“Kesibukan kerja membuatkan kami lupakan seketika soal percutian ditambah pula sibuk menguruskan hal perkahwinan. Saya berharap selepas ini dapat realisasikan impian percutian kami,” katanya.

Ditanya soal cahaya mata pula, Izara menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

“Kami tidak mahu merancang. Lambat atau cepat, ia ketentuan Allah. Lagipun, siapa yang tidak mahu anak. Jika dikurniakan awal, ia rezeki. Jika sebaliknya, kami boleh terus berbulan madu.

“Apa yang penting, jangan putus berdoa dan berusaha. Malah, saya percaya Allah mempunyai perancangan terbaik untuk setiap hamba-Nya. Jadi, doakan saja yang bai-baik untuk kami,” katanya.

Selepas majlis di sebelah pihak perempuan, kedua mempelai sekali lagi diraikan pada majlis bertandang iaitu sebelah pihak lelaki yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 9:33 AM