KRIS Wu.
KRIS Wu.
ULLZANG

Annyeonghaseyo! Tidak lama dulu, Kris Wu memutuskan keluar daripada kumpulan EXO. Walaupun kumpulan terbabit cukup berpengaruh, dia tetap nekad mahu meneruskan kerjaya solonya.

Terbaru, pelakon dan penyanyi itu mendedahkan mengenai kesukaran dialaminya ketika masih bersama EXO. Menurutnya, masalah terbesar ialah mereka dikongkong dan tidak diberi kebebasan.

“Pertama sekali, keseluruhan jadual kami sangat padat dan kami langsung tiada kebebasan. Kedua, perkara yang paling mengganggu saya adalah tiada kebebasan dalam kreativiti.

“Ketika itu, saya tiada peluang langsung untuk menghasilkan muzik yang benar-benar kena dengan jiwa saya,” kata jejaka kelahiran China itu.

Berbeza selepas meninggalkan EXO, Kris serta-merta bebas dan berpeluang untuk meneroka pelbagai cabang seni dalam industri hiburan China.

Selain tawaran luar biasa dalam lakonan, dia juga gembira akhirnya dapat menghasilkan muzik yang diidamkan.

“Sewaktu saya kembali ke China, industri perfileman sangat mekar dan pelbagai jenis tawaran hadir untuk saya. Dari situlah saya mengembangkan karier lakonan dan menjayakan beberapa filem serentak.

“Kini, saya berpeluang untuk melancarkan lagu saya pula supaya peminat tahu muzik masih menjadi keutamaan dalam bidang ini,” katanya.

Ternyata, Kris kini berada di ambang kegemilangan dengan karier solonya.

Keputusannya meninggalkan EXO sangat tepat memandangkan dia sendiri mahu berkembang sebagai anak seni yang ada hala tuju sendiri.

Bagaimanapun, Kris tidak pernah menyesal menjadi sebahagian daripada EXO.

Menurutnya, pengalaman itulah sebenarnya yang mengukuhkan dirinya untuk mencapai tahap sekarang.

“Semestinya sangat menghargai setiap perkara yang dialami sewaktu masih bersama EXO. Setiap saat sangat berharga baik masa indah ataupun masa sukar yang saya lalui.

“Tanpa semua pengalaman itu, saya tidak mungkin boleh menjadi diri saya sekarang ini. Pengalaman itu akan saya jadikan sebagai sebuah bab yang akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 10:00 AM