BIGBANG menerima anugerah utama Artis Terbaik.
BIGBANG menerima anugerah utama Artis Terbaik.
Oleh Georgie Joseph


Apabila diumumkan calon dalam setiap kategori Anugerah Muzik Asia Mnet 2015 (MAMA2015) tidak lama dulu, pertarungannya nyata hanya antara kumpulan fenomena Korea Selatan, BigBang dan EXO.

Dengan rekod cemerlang tahun ini, peluang dua kumpulan idol itu paling cerah.

Masing-masing ada kelebihan sendiri terutama apabila karier seni kumpulan pencabar seperti Super Junior agak malap kebelakangan ini.

BigBang yang tampil dengan album terbaru berjudul MADE pertengahan tahun lalu pasti menjadi tumpuan berikutan populariti album terbabit sebelum ini.

Begitu juga dengan EXO yang menjadi kumpulan paling fenomena ketika ini. Walaupun kemunculan mereka lewat sedikit berbanding BigBang dan kumpulan popular lain, tetapi peminat di seluruh dunia kini tertumpu kepada EXO.

Buktinya, dalam acara berprestij yang mengangkat artis K-pop itu di Asia-Expo, Hong Kong, malam kelmarin, BigBang dan EXO terus kukuh dalam kalangan pengikut industri muzik Korea Selatan.

Bagaimanapun, BigBang dilihat lebih menyerlah apabila membawa pulang trofi kategori utama iaitu Artis Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Bang Bang Bang.

Mereka turut dinobatkan sebagai Artis Pilihan Dunia dan Muzik Video terbaik menerusi lagu Bae Bae.

Untuk rekod, ini adalah kali ketiga BigBang memenangi kategori Artis Terbaik selepas 2008 dan 2012.

EXO juga unggul apabila menjadi pilihan untuk memenangi kategori Album Terbaik menerusi Exodus.

Ia adalah kemenangan tiga kali berturut-turut kumpulan itu untuk kategori ini.

Selain itu, EXO turut membawa pulang trofi kategori Kumpulan Lelaki Terbaik, Pilihan Peminat Global Sina Weibo - Lelaki dan Stail Asia Terbaik.

Apa yang menarik mengenai MAMA2015, pelbagai andaian dan harapan terbit dalam kalangan peminat terutama yang setia mengikuti acara itu setiap tahun.

Sebelum acara berlangsung, masing-masing mengandaikan bagaimana setiap persembahan artis pujaan mereka dan apa lagu yang akan dinyanyikan.

Kejutan 2NE1!

MAMA2015 turut menyaksikan kejutan daripada kumpulan popular 2NE1 yang tampil membuat persembahan walaupun pada awalnya mereka tidak ada senarai persembahan.

Ia ibarat ‘reunion’ 2NE1 memandangkan ketika ini hanya CL aktif dalam kerjaya solonya. Apa yang menarik, selain Dara dan Minzy, Park Bom yang tidak lagi bersama 2NE1 turut tampil membuat persembahan bersama tiga rakannya itu.

Mereka yang menyampaikan lagu Fire dan I Am The Best berjaya mengubat kerinduan peminat, malah CL turut menyanyikan lagu terbarunya berjudul Hello B*****s.

Menghangatkan pentas juga tentu sekali BigBang yang saban tahun akan beraksi. Mereka membuatkan penonton ‘gila’ tatkala mendendangkan lagu Bang Bang Bang, Bae Bae dan Loser.

Begitu juga penyanyi viral Psy yang nampaknya menjadikan pentas itu platform memperkenalkan lagu terbarunya, Daddy.

Nakal, bersahaja dan sangat lincah, penyanyi itu turut mempersembahkan lagu Gangnam Style dan Napal Baji.

Antara yang turut membuat persembahan termasuk EXO, BTS, GOT7, iKON, Hyuna, Jolin Tsai, Monsta X, Seventeen, f(x), SHINee dan Yezi.

Turut membuat persembahan, kumpulan popular era 1990-an dari United Kingdom iaitu Pet Shop Boys.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:01 AM