ANTARA individu yang menjayakan sembang maya, Atas Nama Cinta, Kita Semua Sama.
ANTARA individu yang menjayakan sembang maya, Atas Nama Cinta, Kita Semua Sama.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu tidak menghalang pelajar semester 4, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Industri Halal), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menjayakan program Atas Nama Cinta, Kita Semua Sama.

Program yang dianjurkan di bawah kursus Khidmat Ummah (KU), Pusat Pengajian Teras (PPT) seliaan pensyarah, Zahanim Ahmad itu bertujuan untuk mengutip dana bagi disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Nurus Syahadah, Telok Panglima Garang, Selangor.

Apa yang membanggakan program itu berjaya mengumpul dana lebih RM10,600 dalam tempoh kurang sebulan selepas ia dilancarkan pada 16 Januari lalu yang menyasarkan RM10,500.

Mengikut perancangan asal, pelancaran program dan tabung Atas Nama Cinta itu diadakan pada 16 Januari. Namun, disebabkan PKP penganjur terpaksa menjalankan program itu secara dalam talian yang disiarkan secara langsung di Facebook KUIS dan Syria Care Malaysia.

Pada sesi itu, turut diadakan sembang maya bersama wakil Syria Care iaitu Pengurus Besar, Nurdieana Mohd Mardzi dan dua ikon mereka penyanyi popular, Khai Bahar serta Wany Hasrita.

Membawakan topik Atas Nama Cinta, Kita Semua Sama, sesi itu ingin memberi pendedahan kepada golongan remaja dalam membabitkan diri dengan aktiviti misi kemanusiaan.

Fokus tertumpu dari segi menghulurkan bantuan kepada penduduk Syria yang ditempatkan di beberapa kem pelarian di Istanbul, Turki.

Pengarah Program, Muhammad Amir Yusry Md Raus berkata, kejayaan menganjurkan program itu sehingga mencapai sasaran kutipan adalah hasil kerjasama semua ahli kumpulan.

"Walaupun pelaksanaan program ini terpaksa bertukar pada saat akhir, ia sebenarnya memberi pengalaman baharu kepada kami. Alhamdulillah, dengan kerjasama daripada semua biro terbabit, program ini berlangsung dengan jayanya.

"Saya juga nak berterima kasih kepada semua pihak sama ada individu perseorangan atau mana-mana syarikat kerana sudi menghulurkan sumbangan. Tidak menjangka sebenarnya kami berjaya mencapai sasaran dalam tempoh kurang sebulan.

WANY Hasrita ketika membuat perkongsian.
WANY Hasrita ketika membuat perkongsian.

"Tidak ketinggalan pihak Syria Care kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan program ini. Saya percaya, perkongsian pengalaman mereka sepanjang terbabit dalam misi kemanusiaan Syria Care itu, sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaan program ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi berkata, dia memuji usaha dan inisiatif daripada pihak penganjur terutama dalam memberi pemahaman dan pengetahuan akan usaha yang dibuat mereka selama ini.

"Sejujurnya, ini satu program yang bagus sekali gus dapat membuka mata dan minda masyarakat terutama golongan remaja mengenai kerja dan aktiviti misi kemanusiaan yang dijalankan.

AFFAN selaku moderator program.
AFFAN selaku moderator program.

"Mungkin selama ini mereka hanya mendengar di media massa akan nasib penduduk Syria, tapi dalam program ini mereka dapat mengetahui dengan lebih dekat lagi menerusi perkongsian yang saya dan dua ikon sampaikan.

"Saya puji inisiatif yang dibuat pihak penganjur kerana amat jarang sekali kita melihat usaha sebegini datangnya daripada pelajar. Saya amat terharu dan berterima kasih kerana sudi mengadakan program sebegini," katanya.

Bagi Ikon Syria Care, Khai Bahar, pembabitannya pada program itu antara lain untuk berkongsi pengalaman sepanjang tiga tahun bersama NGO itu.

"Saya sangat suka berkongsi pengalaman kepada orang ramai mengenai aktiviti yang dijalankan Syria Care. Macam dalam program ini, saya dapat bercerita kepada golongan remaja mengenai aktiviti misi kemanusiaan.

"Sebenarnya, aktiviti kemanusiaan ini tidak perlu tunggu kita tua pun, tapi dalam usia remaja inilah kita sudah boleh tanamkan dalam diri untuk terbabit sama. Alhamdulillah, saya sudah tiga tahun bersama mereka. Peluang dan kesempatan diberikan membuatkan saya sentiasa bersemangat apatah lagi setiap kali dapat ke sana," katanya.

Majlis penyerahan sumbangan kepada kedua-dua pihak terbabit diadakan pada esok juga secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:12 AM