Sudirman Mohd Tahir

TINDAKAN pelakon Janna Nick mengenakan bayaran RM50 untuk setiap ucapan dan dimuat naik di Instagram Story mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat dan netizen.

Namun, dalam diam khidmat ucapan yang menggunakan #wishservicebyjannanick itu sebenarnya bagi tujuan amal.

Menurut Janna, 23, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, dia ada alasan tersendiri kenapa tidak mahu mendedahkan lebih awal tujuan khidmat ucapan itu.

Janna berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang menjadi artis, perkara negatif itu lebih mendapat perhatian berbanding sesuatu yang positif.

Seperti sudah dijangka, khidmat ucapan yang dilancarkan sejak Rabu minggu lalu itu tular, apatah lagi selepas diparodikan beberapa artis tempatan.

Namun, segala-galanya terjawab apabila Janna yang juga pengacara Melodi mendedahkan semua hasil bayaran lebih RM2,000 menerusi #wishservicebyjannanick itu adalah untuk dana pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wish For Their Hope (WFTH) yang ditubuhkan Janna bersama pasukannya.

“Selama ini netizen selalu cakap artis mudah melenting untuk sesuatu isu yang dibangkitkan. Sekarang, apa saya buat ini adalah reversed psychology untuk mereka. Ternyata, mereka juga begitu kerana mudah terkesan.

“Tidak sampai sejam selepas saya melancarkan khidmat ucapan ini mereka dengan pantas membincangkan perkara ini di laman Twitter. Saya diamkan saja sebab mahu tengok sejauh mana perkara ini diperkatakan.

“Menghangatkan lagi suasana apabila beberapa rakan artis dan netizen merakam video parodi. Walaupun ada beranggapan video itu adalah untuk mengkritik tindakan saya, sebaliknya saya melihat ia sebagai satu bentuk tanda sokongan. Terima kasih kepada semua yang membantu, sekali gus menjayakan lagi projek amal ini,” katanya.

Menurut Janna, khidmat ucapan itu akan diteruskan, sekali gus mengajak peminat untuk beramal dan menjalankan tanggungjawab sosial.

Pada masa sama, Janna tidak mahu memaksa atau mendesak mana-mana pihak untuk terbabit sama kerana apa yang dibuat itu perlu dengan hati yang ikhlas.

“Dari awal lagi khidmat ucapan ini mendapat sambutan walaupun dikenakan bayaran. Selepas ini pun, jika ada peminat yang hanya ingin menyumbang tanpa ucapan video, saya sangat alu-alukan. Cuma, ingin dijelaskan tiada sebarang paksaan.

“Macam saya sendiri, apa dibuat ini adalah azam tahun ini yang ingin memberi balik kepada komuniti. Saya nak menjalankan tanggungjawab sebagai artis kepada masyarakat selain ingin menunjukkan penggunaan laman sosial dengan betul,” katanya.

Dituduh kaut untung

Tidak mahu melatah dengan kritikan dilemparkan, Janna menjelaskan khidmat ucapan itu bukan untuk kepentingan peribadi, malah jauh sekali untuk menjadikannya kaya raya.

Malah, Janna juga menafikan penubuhan WFTH itu bagi menutup kontroversi yang dicipta menerusi khidmat ucapan terbabit.

“Kalau saya nak tutup mulut orang, saya tidak tubuhkan NGO. Lebih baik saya buat satu majlis amal dan uar-uarkan perkara ini. Memandangkan penubuhan badan ini melalui banyak proses, jadi segala perancangan juga ambil masa.

“Disebabkan itu, apabila semuanya berjalan lancar baru saya bersama pasukan mula merancang khidmat ucapan ini dan tularkan

di media sosial. Sekarang, baru peminat terutama

yang sudah membayar tahu ke mana wang mereka pergi.

“Saya tidak boleh kaya pun dengan duit itu. Sebaliknya, saya buat hanya untuk golongan memerlukan. Bayangkan kalau semua 3.9 juta pengikut saya di Instagram menderma RM1, berapa banyak golongan atau rumah kebajikan saya boleh bantu,” katanya.

Menerusi pertubuhan itu juga, Janna punya misi tersendiri iaitu ingin membantu golongan memerlukan di luar negara.

“Pertubuhan ini ditubuhkan bukan suka-suka. Sebaliknya saya ada sasaran lebih besar iaitu mahu melihat WFTH pergi jauh. Bukan saja bergerak aktif dalam negara, tetapi ke luar negara juga.

“Insya-Allah, saya tidak akan berhenti berjuang. Saya bersyukur apabila perkara ini mendapat sokongan banyak pihak,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya, Janna akan terbabit dalam penggambaran drama Bukan Cinta Aku lakonan bersama Syafiq Kyle dan arahan Erma Fatima.

Selain itu, Janna juga diberi tanggungjawab

untuk mengacarakan Anugerah Bintang Popular BH ke-31 yang berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 9:59 AM