TAK kisah orang kecam. FOTO - Arkib NSTP
TAK kisah orang kecam. FOTO - Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


JANNA Nick memang berniat untuk menjana pendapatan secara agresif menerusi Instagram Story apabila mengenakan bayaran untuk setiap ucapan kepada peminat walaupun tindakannya itu mengundang kecaman netizen.

Janna, 23, ketika dihubungi berkata, sejak dia ‘mengiklankan’ perkhidmatan itu semalam, ramai peminat dan pengikut Instagramnya membuat permintaan untuk dia merakam ucapan ulang tahun kelahiran dan mereka tidak kisah apabila dikenakan bayaran sebanyak RM50.

“Ya, saya memang kenakan caj RM50 untuk setiap ucapan yang diminta peminat. Bukan itu saja, saya juga akan kenakan bayaran untuk beberapa perkhidmatan lain di medium sama,” kata pelakon popular itu.

INSTAGRAM Story Janna yang memaparkan tawaran perkhidmatan ucapan hari jadi berbayar. IG/Janna Nick
INSTAGRAM Story Janna yang memaparkan tawaran perkhidmatan ucapan hari jadi berbayar. IG/Janna Nick

Ditanya mengenai reaksi negatif terhadap tindakannya itu, Janna berkata, dia tidak terkesan kerana itu adalah lumrah kehidupan dalam industri hiburan.

“Sebagai selebriti, apa saja yang kita lakukan akan dapat perhatian. Malah, tak buat apa-apa pun orang akan bercakap juga.

“Jadi, apabila ada yang menganggap apa yang saya buat ini adalah salah dan perlu dikecam, bagi saya ia berbaloi untuk dikecam.

“Alhamdulillah, perancangan saya untuk menarik perhatian netizen juga membuahkan hasil. Bagi yang memberi reaksi negatif, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

‘IKLAN’ dapat sambutan. FOTO - Arkib NSTP
‘IKLAN’ dapat sambutan. FOTO - Arkib NSTP

Janna berkata, dia juga mempunyai sebab kenapa dia berbuat demikian. Namun, hanya akan mendedahkannya pada 4 Oktober depan.

Janna yang juga pengacara program Melodi itu juga meminta netizen tidak terlalu cepat melatah.

“Dulu orang kata artis cepat melatah. Sekarang, apabila jadi benda macam ini, peminat pula yang melatah. Yang pasti, ini bukan gimik atau apa,” katanya.

Sebelum itu, isu mengenai bayaran untuk ucapan kepada peminat timbul selepas Janna memuat naik tawaran berkenaan di Instagram Story semalam, sekali gus menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 1:07 PM