JANNA Nick
JANNA Nick
Sudirman Mohd Tahir

Ketika orang lain berlumba-lumba mencipta sesuatu perkara dengan tujuan mahu menularkan karya mereka supaya lebih dikenali, tetapi pelakon dan penyanyi popular Janna Nick tidak melakukannya.

Menurut Janna, 22, elemen gimik atau tular yang seperti menjadi ‘trend’ dalam industri hiburan sekarang bukan amalan kerjanya sejak mula berkecimpung dalam bidang itu.

Bagi Janna, dia tetap percaya dan yakin dengan kualiti sesuatu produk dihasilkan, sekali gus memperkenalkan lagi namanya kepada umum.

Buktinya, Janna bermula dari bawah tanpa ada yang mengenali dirinya. Selepas berlakon dalam drama Syurga Nur, baru namanya mula diperkatakan.

Janna yang kini muncul dengan single kedua, Akan Bercinta diminta mengulas sejauh mana pendiriannya menggunakan kaedah tular untuk melariskan lagu barunya itu.

Janna berkata, dia diajar untuk menghargai sesebuah karya dengan cara yang baik berdasarkan kualiti sesuatu produk itu.

“Dalam soal tular ini kena tengok sejauh mana kesannya. Kalau ia perkara baik, okey untuk digunakan. Jika sebaliknya, bagi saya tidak perlu.

“Diakui menularkan sesuatu perkara adalah satu bentuk promosi dan publisiti. Namun, ia bukan cara untuk melariskan sesebuah karya atau menarik perhatian peminat supaya meminati lagu saya.

“Kalau saya nak gunakan cara sebegini untuk menaikkan nama dan populariti, dahulu lagi saya boleh buat. Namun, ingin dijelaskan saya tidak sebegitu. Saya diajar untuk mengikut saluran betul,” katanya.

Menurut Janna, dia lebih yakin dengan prestasi yang dimiliki mampu membuatkan lagu yang diterbitkan boleh diterima baik.

Janna juga percaya peminat setia dan pengikutnya di laman sosial meyakini bakat pada dirinya tanpa perlu melakukan ‘sesuatu’ yang pelik.

JANNA Nick
JANNA Nick

Berkongsi mengenai single kedua itu, Janna berkata, lagu ciptaan Aepul Roza itu diterbitkan Janna sendiri.

Janna turut menggunakan pengalamannya sebagai pelakon untuk mengarahkan muzik video lagu itu yang menjalani penggambaran di Itali pada 20 November lalu.

“Saya minat bidang pengarahan. Memandangkan lagu ini saya terbitkan sendiri, jadi saya ingin mengarahkan juga muzik video. Dalam erti kata lain, saya mahu melihat hasil kerja menerusi single kedua ini.

“Saya dalam perancangan untuk menyambung pengajian dalam bidang pengarahan filem. Cuma, saya belum ada waktu sesuai. Jadi, apa saya boleh lakukan sekarang adalah dengan belajar di lokasi penggambaran,” katanya.

Muzik video lagu itu sudah ditonton lebih 300,000 pelayar dalam tempoh empat hari selepas dimuat naik di YouTube pada 1 Disember lalu.

Yakin nyanyi ‘live’

Jika menerusi single pertama, Mungkin Saja yang diterbitkan pada Februari tahun lalu, Janna dikritik kerana tidak mampu menyanyi secara langsung dengan baik, berbeza pula dengan kemunculan lagu kedua ini.

Menurut Janna, penghasilan lagu itu membuatkannya lebih yakin untuk beraksi di pentas. Malah, ia juga dilakukan atas permintaan peminat dan bukan sekadar suka-suka.

“Saya jadi yakin bukan sebab nak kata lagu ini bagus, tetapi sekarang saya mulai belajar untuk meningkatkan prestasi diri. Jika single pertama saya ibarat baru dilahirkan, kini proses bertatih pula. Insya-Allah, pada single akan datang segalanya jadi bagus dan sempurna.

“Bagi saya kritikan atau apa saja maklum balas negatif pasti ada. Saya tidak boleh elakkan perkara ini. Kalau semua perkara nak ikut cakap orang, saya tidak berada pada tahap ini sekarang. Saya nekad untuk terus mengembangkan kerjaya nyanyian sebab ini atas permintaan orang ramai.

“Secara logiknya, mereka yang tidak suka saya menyanyi akan jadi suka sebab mereka sendiri ingin mendengar sejauh mana perkembangan kerjaya nyanyian saya. Seperkara lagi, saya mendapatkan khidmat vokal daripada penyanyi, Mark Adam,” katanya.

Janna berkata, lagu Akan Bercinta dihasilkan mengikut kemampuan dan kesesuaian vokal dimiliki.

Sama seperti single pertama, Janna berpuas hati dengan sentuhan magis Aepul Roza iaitu vokalis kumpulan Drama Band walaupun proses untuk merakamkan lagu itu berdepan cabaran.

“Apa yang saya inginkan dalam lagu ini, Aepul berjaya tunaikan. Daripada single pertama sehingga sekarang, agak lama juga masa yang diambil. Saya merancang untuk menghasilkan single kedua ini lebih awal.

“Besar harapan saya lagu ini boleh berjaya dan pergi lebih jauh. Walaupun sepanjang tempoh tiga bulan kebelakangan ini tekanan dari segi jadual kerja, saya tetap pentingkan kualiti. Saya tidak mahu sekadar sambil lewa. Penat sekali pun, saya tetap cuba yang terbaik,” katanya yang bakal muncul dengan single ketiga duet dengan Alvin Chong tidak lama lagi.

JANNA Nick
JANNA Nick

Nafi gaduh dengan Fattah Amin

Janna menafikan dia bergaduh dengan Fattah Amin ketika menjayakan penggambaran drama Coffee Prince, baru-baru ini.

“Ketika berlakon, apa yang rakan pelakon beri saya terima dan balas seperti apa yang diberi. Saya beri yang selayaknya dia dapat. Pendek kata, saya bekerja secara profesional.

“Jadi, isu kata saya bergaduh dengan Fattah tidak benar. Saya okey saja. Tidak ada masalah timbul sehingga boleh membuatkan hubungan jadi tidak baik,” katanya.

Selain muncul dalam drama Coffee Prince yang kini ditayangkan di saluran Astro Ria, Janna juga terbabit dalam drama Isteri Untuk Diiktiraf terbitan RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 6:59 AM