Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Janna Nick mengumumkan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Wish For Their Hope (WFTH) menerusi khidmat ucapan #wishservicebyjannanick yang dibuat sejak minggu lalu.

Menerusi khidmat yang dikenakan bayaran RM50 bagi setiap ucapan itu, Janna berjaya mengutip lebih RM2,000.

Janna, 23, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, kesemua bayaran yang diterima disalurkan terus ke NGO terbabit.

“Alhamdulillah, ini langkah awal saya untuk membantu golongan memerlukan. Apa saya buat sepanjang minggu lalu ada alasan dan tujuan tersendiri. Cuma, baru hari ini saya boleh kongsikan.

“Ramai kata saya buat ini untuk kepentingan sendiri dan nak cepat kaya. Tetapi niat itu hanya saya saja tahu. Apa saya buat bukan sekadar suka-suka, tetapi lebih kepada program kebajikan.

“Kesemua hasil bayaran disalurkan ke pertubuhan ini untuk disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih menerusi program dijalankan pada setiap bulan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Janna, khidmat ucapan yang dibuat turut mendapat sokongan daripada rakan artis seperti Mawar Rashid, Sharifah Sakinah, Zara Zya, Michael Ang dan ramai lagi.

Malah, Janna juga mengajak rakan artis lain untuk sama-sama menjayakan program ini bagi membantu golongan memerlukan.

“Kalau ada rakan artis yang komen dan kritik mengenai tindakan saya, biarlah. Sebab mereka tidak tahu tujuan perkara ini. Kalau saya di tempat mereka pun, saya fikir perkara sama.

“Saya nak berterima kasih kepada Sakinah, Zara, Mawar dan Michael kerana tolong tularkan perkara ini. Mereka tahu apa saya ingin buat dan disebabkan itu mereka sudi bantu,” katanya.

JANNA Nick menubuhkan 'Wish for Their Hope' bagi membantu golongan kurang bernasib baik. FOTO Nurul Shafina Jemenon
JANNA Nick menubuhkan 'Wish for Their Hope' bagi membantu golongan kurang bernasib baik. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Janna yang juga pengacara Melodi menafikan penubuhan NGO itu sebagai alasan untuk menutup kontroversi mengenai khidmat ucapan yang dibuat.

“Penubuhan NGO ini saya sudah rancang empat bulan lalu. Cuma, baru minggu lalu saya lancarkan mekanisma untuk menjayakannya.

“Alhamdulillah, ia menjadi meskipun mengundang pelbagai cakap-cakap negatif dalam kalangan netizen dan masyarakat termasuk segelintir selebriti.

“Kalau ada kata khidmat ucapan ini gimik kepada penubuhan NGO ini, saya okey saja. Saya sedar, dengan cara ini ia membolehkan orang ramai buka mata. Saya percaya, kalau ia dimulakan dengan cara baik pasti sukar nak dapat perhatian,” katanya.

Sebagai permulaan, Janna bersama pasukan mengadakan program amal di dua rumah kebajikan terpilih iaitu Rumah Perlindungan Nasuha, Gombak dan Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang.

Pada majlis itu, Janna menyerahkan barangan asas seperti beras, gula, tepung, barangan mandian dan wang tunai.

Pada 14 Oktober ini, Janna akan turun padang dengan memberi makanan kepada gelandangan di sekitar ibu negara.

Berita berkaitan

'Memang saya caj RM50'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 12:32 PM