SESI latihan yang diadakan.
SESI latihan yang diadakan.
HM Digital

Apa itu WADIRA? Ia adalah gabungan nama kepada persembahan wayang kulit, dikir barat dan menora yang sinonim dengan Kelantan.

Sebagai pembuka tirai program Pang­gung Seni Tradisional 2018 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), peminat berpeluang menyaksikan persembahan WADIRA ‘Limau Nipis Naga Berseru’ daripada Akademi Dikir Barat Arjunasukma yang akan berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur jam 8.30 malam ini dan esok.

Akademi Arjunasukma (AA) yang digerakkan aktivis seni dari Kelantan ini adalah sebuah badan kesenian berdaftar yang bergerak cergas di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan persembahan muzik tradisional, wayang kulit, dikir barat dan lain-lain lagi.

Persembahan arahan Mohd Sulhie Yusuf atau lebih dikenali sebagai Abe Yie Arjuna ini menampilkan pelakon hebat Sabri Yunus sebagai artis undangan dan aktivis seni yang tidak asing lagi, Dr Lim Swee Tin sebagai penampilan khas.

Mereka diiringi pemuzik yang terdiri daripada anak muda Akademi Arjunasukma.

Abe Yie berkata, per­sembahan Limau Nipis Naga Berseru adalah sebuah cerita rakyat terkenal dalam kesenian menora.

Bagaimanapun, persembahan ini bukan persembahan menora sahaja kerana turut merangkumkan wayang kulit dan dikir barat dalam satu cerita.

“Persembahan ini menjadi unik kerana me­ngetengahkan muzik tradisional Melayu yang sangat halus. Di tengah-tengah era pemodenan yang kian meminggirkan kesenian warisan, AA menawarkan sesuatu yang berbeza buat khalayak penonton.

“Bagi penonton umum, dialek Kelantan yang sinonim dengan kesenian ini dilenturkan supaya mudah difahami.

“Dijayakan lebih 40 tenaga kerja AA, teater Limau Nipis Naga Berseru menjanjikan kelainan. Ia dihiasi kisah yang mudah tapi menarik, sekali gus membuatkan tontonan menjadi santai,” katanya.

Limau Nipis Naga Berseru memaparkan kisah seorang raja berpermaisurikan bota yang menyamar sebagai puteri jelita untuk merampas kuasa kerajaan di sebuah negeri yang makmur dan aman sejahtera.

Permaisuri raja diusir, manakala putera raja, Sakti Bongsu diarah mencari ubat penawar yang bernama Limau Nipis Naga Berseru untuk mengubati penyakit ‘permaisuri’ yang sebenarnya jelmaan bota.

Persembahan dijangka mengambil masa selama 1 jam 15 minit. Tiket untuk menonton berharga RM20 dan RM50 (tempat duduk VIP).

Keterangan lanjut boleh didapati menerusi Facebook Akademi Dikir Barat Arjunasukma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 11:28 AM