Asrizal Aris


 

"MASYARAKAT di China sudah 'jatuh cinta' dengan dikir barat," itu yang boleh disimpulkan Pengarah Akademi Arjunasukma Mohd Sulhie Yusuf, 40, susulan pasukan dikir barat Arjunasukma berjaya memenangi Anugerah Prestasi Cemerlang pada Expo Industri Pelancongan Antarabangsa 2017 di Guangdong, China.

Lebih manis apabila persembahan dikir barat spontan yang dibuat selama tiga minit dalam pesawat ketika perjalanan pulang dari Guangzhou ke Pulau Langkawi, menerima sambutan hangat daripada penumpang yang 90 peratus adalah warga China.

Video persembahan dalam pesawat AirAsia yang dirakam pada Isnin lalu itu menjadi tular di laman sosial selepas dianggap sebagai persembahan dikir barat tertinggi di dunia dengan 30,000 kaki dari aras laut.

Mohd Sulhie berkata, Arjunasukma sebelum ini pernah memasang niat untuk melakukan perkara itu dengan kerjasama sebuah syarikat penerbangan namun tidak berjaya merealisasikannya apabila syarikat itu diarahkan ditutup.

Katanya, dia bersama 14 pendikir yang lain bersyukur apabila impian mereka itu tercapai selepas AirAsia sebagai penaja penerbangan mereka ke Guangzhou membenarkan untuk membuat persembahan dikir barat dalam kapal terbang.

"Pada mulanya kami tidak yakin mereka memberi kebenaran. Tetapi apabila kami menyatakan niat kami kepada ketua pramugara, dia juga teruja untuk melihat persembahan kami.

"Selepas 40 minit, kami difahamkan cuaca dalam keadaan baik lalu ketua juruterbang membuat pengumuman bahawa kami akan membuat persembahan dikir barat dalam masa tiga minit.

"Apa yang menggembirakan apabila semua penumpang yang majoriti dari China menyertai kami dengan bertepuk tangan sehingga ada yang membuat permintaan supaya jangan berhenti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia menyifatkan peristiwa itu kenangan paling manis buat Arjunasukma kerana menjadi pasukan dikir barat pertama yang berbuat demikian selain kejayaan mereka diiktiraf di Guangzhou

Katanya, jemputan daripada pihak kedutaan Malaysia di China untuk membuat persembahan meraikan pengunjung Guangdong pada Expo Pelancongan Antarabangsa, turut dilakukan sempena sambutan Hari Malaysia.

"Kami pun tidak sangka persembahan kami mewakili budaya dari Malaysia menerima anugerah prestasi cemerlang berbanding beberapa persembahan kebudayaan dari negara lain yang tidak kurang hebatnya.

"Banyak kenangan manis selama enam hari di Guangzhou dan kami hadiahkan kejayaan ini buat negara sempena Hari Kebangsaan yang ke-60," katanya yang juga penggiat seni dan budaya sepenuh masa.

Akademi Arjunasukma ditubuhkan sejak 2000 yang kini sudah mempunyai kira-kira 250 ahli termasuk 80 pendikir yang bergiat aktif dalam membuat persembahan jemputan di dalam dan luar negara.

Arjunasukma lebih dikenali selepas video mereka membuat persembahan di dalam kapal terbang dengan ketinggian 30,000 kaki dari aras laut menjadi tular di laman sosial sejak semalam dengan menerima lebih 100,000 tontonan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 1:16 AM
Antara aksi  pasukan dikir barat Arjunasukma berdikir di udara di dalam pesawat dan gambar kenangan mereka di Expo Industri Pelancongan Antarabangsa 2017 di Guangdong, China. FOTO ihsan Mohd Sulhie
Antara aksi pasukan dikir barat Arjunasukma berdikir di udara di dalam pesawat dan gambar kenangan mereka di Expo Industri Pelancongan Antarabangsa 2017 di Guangdong, China. FOTO ihsan Mohd Sulhie