AQFIERUDZAR Rizq atau lebih dikenali sebagai Pyu mahir mengendalikan patung wayang kulit dengan beberapa watak berbeza ketika membuat mempersembahkan sempena Program Kota Bharu Kita Punya di Dataran Muhammadi, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi.
AQFIERUDZAR Rizq atau lebih dikenali sebagai Pyu mahir mengendalikan patung wayang kulit dengan beberapa watak berbeza ketika membuat mempersembahkan sempena Program Kota Bharu Kita Punya di Dataran Muhammadi, Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi.
Hazira Ahmad Zaidi


USIA kanak-kanak ini baru empat tahun, namun dia mampu berperanan sebagai tok dalang dalam pementasan wayang kulit seperti lelaki dewasa.

Pergerakan tangannya ketika menggerakkan patung wayang kulit sama lincah dengan mulutnya yang lancar menuturkan kisah diperdengarkan di balik tabir layar putih yang dilihat cukup luar biasa.

Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie atau lebih dikenali Pyu, sebelum ini pernah tular selepas membuat persembahan pembukaan wayang kulit ketika program Joyful Malaysia Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan pada Oktober lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bapanya yang juga penggiat seni, Mohd Sulhie Yusuf, 42, berkata dalam tempoh dua bulan selepas video persembahan anaknya menjadi tular, Pyu menerima 11 jemputan undangan untuk membuat persembahan wayang kulit termasuk di Singapura pada November lalu.

“Minat anak saya terhadap wayang kulit bermula ketika dia berusia tiga tahun apabila sering didedahkan dengan persembahan Kumpulan Wayang Kulit Arjunasukma.

“Dia (Pyu) sebenarnya masih seperti kanak-kanak lain seusianya, cuma wayang kulit sentiasa menarik minatnya dan dengan hanya menggunakan bayang-bayangnya sendiri di dinding, dia menggayakan aksi menjadi tok dalang menggunakan kreativitinya.

“Melihat minatnya mendalam terhadap seni tradisional ini, saya membeli dua patung wayang kulit untuknya bermain sendiri dan menunjukkan bakatnya sebagai tok dalang cilik,” katanya ketika ditemui dalam program Kota Bharu Kita Punya di Dataran Muhammadi, Kota Bharu.

Katanya, walaupun anaknya itu membuat persembahan di depan khalayak ramai, namun dia dapat menyesuaikan diri dengan mudah serta mempunyai keyakinan diri serta petah menuturkan setiap bait dalam cerita.

“Namun bukan perkara mudah bagi kanak-kanak seusianya untuk mengendalikan sekurang-kurangnya tujuh patung wayang kulit ketika membuat persembahan.

“Justeru, seminggu sebelum memenuhi undangan membuat persembahan, saya akan mengajar Pyu secara lisan untuknya menghayati dan mengingati setiap watak yang akan dipersembahkan.

“Namun begitu, sekiranya dia mendapat undangan persembahan di saat akhir dan tidak sempat membuat persediaan, Pyu akan membawa watak secara spontan mengikut kreativitinya sendiri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, anak bongsunya itu kini dapat menguasai sembilan watak dalam wayang kulit iaitu Raja Serama, Wok Yoh, Wok Long, Samad, Said, Pok Dogol, Mek Timah, Jin Togok dan Hanuman Kera Putih.

Bagi terus memartabatkan seni warisan negeri Kelantan, Mohd Sulhie yang sebelum ini bekerja sebagai kakitangan kastam berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada Akademi Arjunasukma di Klang, Selangor yang digerakkan bersama isterinya, Aniza Musa, 35, sejak 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 4:13 PM