Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie atau lebih dikenali sebagai Pyu menunjukkan bakat luar biasa apabila mampu membuat persembahan wayang kulit dan dikir barat sambil diperhatikan bapanya, Mohd Sulhie Yusof, 42 di Kampung Padang Lalang. FOTO/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie atau lebih dikenali sebagai Pyu menunjukkan bakat luar biasa apabila mampu membuat persembahan wayang kulit dan dikir barat sambil diperhatikan bapanya, Mohd Sulhie Yusof, 42 di Kampung Padang Lalang. FOTO/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Muhamaad Razis Ismail


USIANYA baru lima tahun, namun sudah mampu berada di atas pentas besar beraksi sebagai tukang karut dan tok dalang cilik.

Biarpun bertubuh kecil, Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie atau lebih dikenali sebagai Pyu memiliki bakat luar biasa apabila mampu memimpin persembahan wayang kulit dan dikir barat bersama mereka yang lebih dewasa.

Tidak padan dengan usia, tangannya lincah mengawal patung wayang kulit di sebalik layar putih di samping kepetahan bercakap dialek Kelantan ketika menyampaikan cerita mengikut alunan muzik.

Aksi bersahajanya menarik perhatian penonton tidak kira lapisan masyarakat di dalam dan luar negara termasuk China, Singapura dan Indonesia.

Lebih unik, kumpulan Arjunasukma diketuai bapanya sendiri Mohd Sulhie Yusof, 42, yang menjadi pencetus minat Pyu terhadap seni tradisional Melayu.

Mohd Sulhie berkata, dia mula menyedari bakat anaknya sejak berusia dua tahun apabila sering mengikutnya membuat persembahan wayang kulit di seluruh negara.

“Dia bermula dengan hanya menyentuh semua alat muzik tradisional dan sejak berusia empat tahun dia bermain gong untuk persembahan dikir barat sebelum berjinak dengan canang, rebana anak dan sebagainya.

“Pyu mula menjadi tok dalang wayang kulit dan baru-baru ini menunjukkan bakat sebagai tukang karut dalam persembahan dikir barat.

“Baru-baru ini, Pyu membuat persembahan pertama sebagai tukang karut berduet dengan pelakon Sabri Yunus, sehingga tular di media sosial,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Lalang di sini.

Menurutnya, Pyu seorang kanak-kanak yang cepat ‘tangkap’ perkara baru yang diajar.

“Sebagai contoh, untuk penceritaan wayang kulit, saya bagi asas jalan cerita dan kemudian dia olah sendiri. Setakat ini, dia boleh memainkan 12 watak wayang kulit.

“Untuk dikir barat pula dia menggunakan teknik menghafal lagu rakyat yang menjadi minatnya,” katanya.

Katanya, biarpun memiliki bakat besar, Pyu tiada beza seperti kanak-kanak normal lain yang perlukan masa untuk bermain.

“Kebiasaannya pada waktu siang, saya biarkan bermain dengan rakannya dan berlatih pada waktu malam. Kadang kala ketika sedang berlatih apabila hilang ‘mood’, saya memberinya gula-gula atau aiskrim untuk memujuknya.

“Namun ketika persembahan secara automatik Pyu akan fokus dan mengikut arahan diberikan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, dia akan terus memberi galakan kepada Pyu untuk meneruskan legasinya dalam seni tradisional.

“Sekiranya dia berminat meneruskan sudah tentu saya berikan galakan. Kalau boleh saya nak hantarnya ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk mendalami ilmu mengenai seni tradisional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 7:00 AM