BARISAN pelakon telemovie Calon Menantu.
BARISAN pelakon telemovie Calon Menantu.
Syanty Octavia Amry


Sebanyak RM1 juta ringgit ditawarkan kepada anak yang dapat memberikan cucu antara paparan menarik dalam telemovie Calon Menantu yang bakal menghiasi pagi Sabtu tanggal 23 Disember ini.

Ditayangkan bermula jam 10.05 pagi, telemovie berkenaan akan disiarkan di saluran TV1.

Ia dibintangi barisan pelakon seperti Azrel Ismail, Adam Shah, Shaari Hashim, Iezah Diyana, Ayda Jebat dan Dayana Roza.

Drama ini turut menampilkan pelakon Ramasundram, Manan Sulaiman, Sheila Mambo dan Pak Lah Cecupak.

Menceritakan mengenai Datuk Kusni, jutawan yang mempunyai tiga anak lelaki iaitu Khairi, Kamil dan Kazim yang semuanya masih bujang.

Datuk Kusni dan Datin Soleha terlalu mengidam ingin menimang cucu. Atas desakan itu, Datuk Kusni menawarkan hadiah RM1 juta kepada ketiga-tiga anak lelakinya yang pertama menimang cahaya mata.

Khairi, Kamil dan Kazim berlumba-lumba mencari calon isteri. Khairi mencari calon isteri melalui laman sosial di Internet.

Kamil mencari calon isteri melalui kawannya. Manakala, Kazim dengan cara meronda di pusat beli-belah di ibu kota.

Namun tidak seorang pun di antara gadis yang mereka jumpa sesuai untuk dijadikan calon isteri.

Akhirnya, Datuk Kusni mengarahkan mereka ke pusat peranginan sambil mencari calon isteri.

Semasa berada di pusat peranginan itu, Khairi, Kamil dan Kazim bertemu tiga gadis yang bekerja di calet penginapan mereka iaitu Khairiah, Kamiliya serta Kazimah. Khairiah gadis yang paling cantik. Manakala, gadis yang paling tidak menarik adalah Kazimah.

Maka berlakulah perebutan antara ketiga-tiga beradik ini sehingga menimbulkan perbalahan sesama mereka.

Datuk Kusni dan Datin Soleha datang meleraikan perbalahan mereka. Akhirnya Datuk Kusni menyarankan ketiga-tiganya memilih calon isteri berdasarkan kepada persamaan nama mereka.

Khairi bakal dijodohkan dengan Khairiah, Kamil dengan Kamiliya dan Kazim pula dengan Kazimah.

Khairi dan Kamil menyambut baik cadangan itu. Namun, Kazimah tidak mahu menerima Kazim dengan alasan Kazim tidak ikhlas memilihnya.

Berlangsunglah perkahwinan antara Khairi dengan Khairiah dan Kamil dengan Kamiliya secara serentak.

Kazim mula berputus asa dan menyangka dia tewas dalam perlumbaan itu. Pada suatu hari, semasa merentas hutan bersama rakan, Kazim tersesat ke sebuah kampung. Kazim ditemui oleh Pak Karim dalam keadaan pengsan dan dibawa pulang ke rumah Pak Karim.

Kazim dirawat oleh anak perempuan Pak Karim. Kazim terkejut apabila mendapati anak perempuan Pak Karim adalah Kazimah. Timbul bibit percintaan antara mereka. Selepas sihat, Kazim pulang ke rumah lalu meminta Datuk Kusni meminang Kazimah.

Khairiah dan Kamiliya mula menunjukkan tanda akan mengandung. Mereka berdua mula pening dan muntah-muntah.

Khairiah pening disebabkan terlalu letih. Manakala, muntah Kamalia pula disebabkan alahan dengan sotong.

Sedangkan Kazimah langsung tidak menunjukkan tanda mengandung. Datuk Kusni menyindir Kazimah dengan mengatakan susuk badan Kazimah tidak mungkin akan dapat melahirkan anak.

Selang empat bulan berlalu, Khairiah dan Kamiliya yang disangka mengandung tidak langsung menunjukkan tanda pada perut mereka.

Manakala perut Kazimah pula makin lama membesar. Apakah kesudahannya?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 1:57 AM