Muhaamad Hafis Nawawi dan Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan perkara berkenaan pada Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) di sini, tadi.

Saarani berkata Mohd Kazim digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

"Mohd Shafiq menggantikan Mohd Kazim yang membuat keputusan menarik diri," katanya pada majlis pengumuman berkenaan.

Malam tadi, pencalonan Mohd Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara.

Pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.

Ustaz Kazim
Ustaz Kazim

Dalam pada itu, Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim memohon cercaan hinaan terhadapnya oleh orang ramai digantikan dengan pahala.

Beliau memuat naik kenyataan itu di Facebooknya hari ini.

"Alhamdulillah. Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 11:11 AM