T REX (dua dari kanan) bersama dua anggota asal Kamikaze iaitu Rahmat (tiga dari kanan) dan Amy (kiri).
T REX (dua dari kanan) bersama dua anggota asal Kamikaze iaitu Rahmat (tiga dari kanan) dan Amy (kiri).
Ridzuan Abdul Rahman


Biarpun sekadar menyampaikan beberapa lagu popular kumpulan Kamikaze untuk menghiburkan wakil media, nyanyian Terence Law atau T Rex yang diiringi Rahmad (bass), Amy (dram) dan Asry Hasan (gitar) tetap memukau.

Tempoh tujuh tahun penyepian kumpulan yang pernah memenangi anugerah Album Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik 2001 (AIM2001) menerusi album sulung berjudul Kontroversi pada 2000 ini ternyata tidak melunturkan kehebatan vokal T Rex.

Sidang media yang berlangsung di Comedy Planet, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini bukanlah bertujuan ‘mengembalikan’ semula Kamikaze ke persada seni, sebaliknya mahu mempromosikan dua single berjudul Kasi Pecah dan Tujuh nyanyian T Rex yang kini tampil secara solo.

Rahmad ketika ditemui berkata, untuk menghidupkan kembali Kamikaze, mereka perlu mendapatkan restu Sham kerana dia pengasas kumpulan itu.

“Tak dinafikan peminat banyak bertanya berkenaan Kamikaze. Niat untuk mengadakan ‘reunion’ memang ada, tapi apabila fikir semula dengan situasi Sham yang sudah berhijrah, takkan dia nak main muzik rock semula.

“Saya ada material (lagu) dan sering berhubung dengan T Rex dan bertanya sama ada dia berminat menghasilkan album solo. Sekurang-kurangnya kerinduan peminat akan terubat dengan cara ini,” katanya.

Menurut Rahmad, mereka menghormati perubahan Sham dan hubungan yang terjalin masih baik. Namun dalam masa sama agak kecewa kerana gagal memenuhi kehendak peminat.

“Kalau ikutkan kami sudah ada kumpulan, tapi pengasasnya sudah berhijrah sudah tentu perasaan kecewa itu ada. Siapa yang tak nak beraksi dengan kumpulan asal.

“Inilah sebab saya wujudkan album solo T Rex supaya orang kembali kenal dia. Manakala saya dan Amy dapat kembali beraksi bersama. Kalau tidak, nama Kamikaze akan terus berkubur,” katanya.

Rahmat tidak menafikan nama Sham begitu sinonim dengan Kamikaze dan masih menjadi sebutan peminat sehingga kini.

“Semua orang yang ditemui pasti akan bertanyakan ke mana perginya Sham. Sebenarnya, kalau diikutkan kami boleh menggunakan nama Kamikaze kerana Sham yang menarik diri sedangkan tiga yang lain adalah anggota asal.

“Bagaimanapun, kami menghormati Sham sebagai kawan dan perlu ada lampu hijau daripada dia sekiranya mahu menggunakan nama Kamikaze,” katanya.

Rahmad berkata, sekiranya Sham memberikan kebenaran untuk mereka menggunakan nama Kamikaze, mereka perlu memikirkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan persetujuan.

“Itu satu cara yang baik tapi sanggupkah kami membawa nama ini? Contohnya saya ambil Asry menggantikan tempat Sham, sudah pasti perbandingan akan dibuat oleh peminat.

“Fenomena ini turut berlaku membabitkan kumpulan popular lain dan menjadi bahan perbualan peminat. Kalau boleh biarlah ada Sham,” katanya.

Mengulas persembahan yang ditampilkan petang itu, Rahmad menggelarkan kumpulan mereka T Rex Band sebagai kelainan buat peminat.

“Tiba-tiba saja idea ini datang. Saya wujudkan kami sebagai pemuzik pengiring T Rex dan tiada perancangan untuk projek album.

“Saya sedar T Rex tak boleh berada berseorangan di atas pentas. Untuk masa ini kami tiada masalah menyanyikan lagu Kamikaze kerana seperti dikatakan tadi, kami bertiga anggota asal kumpulan ini,” katanya.

Rahmad turut merangka publisiti single Kasi Pecah dan Tujuh dengan merancang mengadakan showcase buat peminat serta promosi bergerak di beberapa lokasi terpilih seluruh negara.

“Saya merancang menghasilkan lima lagu buat T Rex dan masih mencari material yang sesuai untuk T Rex.

“Kalau boleh saya tak nak buat lagu secara lepas tangan kerana kami amat mementingkan kualiti seperti ditampilkan sebelum ini,” katanya.

Minta kerjasama stesen radio

Lagu Kasi Pecah berentak rancak ciptaan Bob Ramada dan lirik Bob Ramada bersama Asry Hasan, manakala lagu balada berjudul Tujuh ciptaan Bob Ramada bersama Rahmad Kamikaze serta lirik oleh Bob Ramada.

Rahmad meminta agar setiap stesen radio memberikan pertimbangan wajar untuk memainkan setiap lagu dengan adil.

“Dulu penyampai radio akan memainkan lagu yang dianggap okey dan diterima peminat. Tapi sekarang penyiaran lagu dibuat berdasarkan kepada tular.

“Bagi saya cara ini lebih sesuai diguna pakai untuk penyanyi baru. Penyanyi yang sudah lama dan ‘establish’ rasanya tak perlu dibuat begini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 10:03 AM