FAZLI (kanan) dan Fazrul (dua dari kiri) pelumba adik-beradik dari Taiping mempengaruhi ramai peminat.
FAZLI (kanan) dan Fazrul (dua dari kiri) pelumba adik-beradik dari Taiping mempengaruhi ramai peminat.
myMetro

Kuala Lumpur: Selepas lapan tahun, Taiping, lokasi yang cukup popular dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan kembali menjadi hos bagi siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, hujung minggu ini.

Persaingan enam kategori perlumbaan dijangka sengit dengan bentuk litar sementara sepanjang 1.466 kilometer yang mempunyai dua laluan lurus panjang dan tujuh selekoh mencabar di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya, juga adalah litar terpanjang dalam kalendar kejuaraan musim ini.

“Taiping adalah gelanggang istimewa bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia. Sebagai daerah kelahiran gandingan dua beradik, (Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fazrul Sham), daerah ini mempunyai ramai peminat sukan permotoran dan kehadiran peminat minggu ini juga dijangka begitu meriah,” jelas Ketua Operasi Cub Prix, Shafry Azizan.

“Sebelum ini Taiping terkeluar daripada kalendar perlumbaan kerana sukar untuk mendapatkan lokasi yang sesuai. Jadi, seperti peminat, kami juga gembira kerana Cub Prix kembali ke Taiping.”

Dengan gelaran juara keseluruhan CP130 sah menjadi milik Kasma Daniel Kasmayudin dan gelaran naib juara keseluruhan milik rakan sepasukan, Ahmad Fazli, persaingan di Taiping minggu ini terarah kepada pemburuan gelaran keseluruhan CP115 dan kelas Wira.

Bagi memeriahkan perlumbaan pusingan akhir musim 2016, peminat akan disajikan dengan persembahan artis jemputan seperti Sham Kamikaze, Ali XPDC dan Projector Band.

Pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PET
RONAS akan berlangsung di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya, Taiping, pada 19 dan 20 November ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 8:27 AM