T-REX (kiri) dan Rafidah. FOTO Aziah Azmee
T-REX (kiri) dan Rafidah. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman

Tidak keterlaluan dikatakan T-Rex Kamikaze satu-satunya penyanyi keturunan Cina yang mampu menyanyi genre rock dengan baik.

Kemunculan pemilik nama sebenar Terence Law bersama Sham (gitar), Rahmad (bass) dan Amy (dram) dengan album Kontroversi pada 2000 berjaya mencuri hati peminat menerusi lagu Luhur serta Tawa Dalam Tangisan.

Bertambah manis, album ini mendapat pengiktirafan Album Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik 2001 (AIM2001).

Mereka seterusnya menghasilkan album Inspirasi (2000), Setahun Selepas (2001), Kamikaze 3 (2001) dan The Return (2009) sebelum anggotanya membawa haluan sendiri.

Biarpun hilang daripada arus perdana industri muzik, T-Rex sebenarnya masih giat menyanyi di sebuah kelab di Genting Highlands.

Dia pernah kembali bergabung dengan Rahmad menerusi album single solo memuatkan dua lagu ciptaan Bob Ramada berjudul 7 dan Kasi Pecah yang diterbitkan pada 2017.

“Saya masih aktif menyanyi kerana itu minat utama saya. Biarpun beraksi di kelab, ia tetap ada cabaran tersendiri buat saya.

“Biasanya saya menyanyi di kelab selama enam hari dan bercuti setiap Ahad,” katanya.

T-Rex mengakui merindui Kamikaze. Namun, agak sukar untuk mereka bergabung semula tanpa Sham yang juga pengasas dan pemain gitar utama.

“Saya pun dah lama tak jumpa dia dan tak tahu apa aktivitinya sekarang. Tak dinafikan ada pengikut saya dalam laman sosial bertanyakan mengenai reunion Kamikaze ataupun konsert solo saya.

“Saya hanya boleh jawab semuanya bergantung pada keadaan. Memang seronok dapat bersama mereka kerana tidak mudah sebenarnya untuk dapat geng yang serasi. Kami ada ‘sense of music’ yang secara tak langsung memudahkan buat persembahan,” katanya.

Menyedari situasi pasaran industri muzik yang tidak menentu sekarang, T-Rex mencuba sesuatu yang berbeza pula apabila menghasilkan produk kosmetik penjagaan muka.

“Saya bukan buang tabiat apabila keluarkan produk kosmetik sebaliknya saya ambil peluang gunakan populariti saya untuk berniaga seperti yang dilakukan oleh artis lain.

“Biarpun seorang rockers, saya sentiasa jaga penampilan terutamanya penjagaan wajah.

“Produk kosmetik ini menggunakan jenama Alena Cosmetics sempena nama kekasih saya,” katanya.

Menurutnya, tiada masalah untuk dia melakukan dua kerja pada satu masa kerana ada kelonggaran dalam kontrak yang dipersetujui.

“Ikutkan kontrak saya pun akan berakhir tak lama lagi dan tidak bercadang untuk sambung. Bolehlah saya fokus terhadap perniagaan sendiri selepas ini.

“Pelbagai cara boleh difikirkan antaranya buat show di mana-mana lokasi dan saya turut jual produk ini. Ia sama seperti kita jual CD ketika buat persembahan.

“Saya sudah ada platform dalam bidang seni dan dikenali peminat. Jadi, tak salah jika saya beralih ke penghasilan kosmetik penjagaan wajah pula,” katanya.

T-Rex beruntung kerana bertemu dengan Rafidah Abu Samah atau White, bekas penerbit di sebuah stesen televisyen yang berminat mengeluarkan modal untuk menghasilkan produk kosmetik itu.

“Kami memang sudah lama kenal dan kebetulan bekerjasama dalam projek single 7.

“Jadi, kerjasama itu diteruskan dalam projek ini pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 8:01 AM