RAHMAD (kanan) serasi dengan suara T-Rex.
RAHMAD (kanan) serasi dengan suara T-Rex.
Ridzuan Abdul Rahman


Siapa tidak kenal dengan kumpulan Kamikaze yang dianggotai Sham (gitar), T-Rex (penyanyi), Rahmad (bass) dan Amy (dram).

Kemunculan pertama mereka dengan album Kontroversi pada 2000 berjaya mencuri hati peminat menerusi lagu Luhur dan Tawa Dalam Tangisan.

Malah, album ini turut diiktiraf sebagai Album Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik 2001 (AIM2001).

Aktif menghasilkan album seterusnya iaitu Inspirasi (2000), Setahun Selepas (2001), Kamikaze 3 (2001) dan The Return (2009), Kamikaze akhirnya menyepikan diri menyaksikan anggotanya membawa haluan sendiri.

Bagaimanapun, selepas tujuh tahun, Rahmad dan T-Rex atau nama sebenarnya Terence Law bergabung kembali menerusi album single solo T-Rex berjudul 7.

Album ini mengandungi dua lagu iaitu lagu rancak berjudul Kasi Pecah ciptaan Bob Ramada dan lirik Bob Ramada/Asry Hasan, lagu balada berjudul Tujuh ciptaan Bob Ramada bersama Rahmad Kamikaze serta lirik oleh Bob Ramada.

Ditemui pada pelancaran album ini di sebuah kelab baru-baru ini, Rahmad menafikan ini kemunculan semula Kamikaze.

“Kami tak boleh keluarkan apa-apa kenyataan dan perlu hormat Sham kerana dia adalah pengasas Kamikaze.

“Sebenarnya dia turut dijemput ke majlis ini tapi tak datang. Lagipun, sepanjang kami berhubung, dia tak pernah sebut mengenai hasrat untuk buat ‘reunion’ atau projek baru di bawah nama Kamikaze,” katanya.

Rahmad menjelaskan tidak salah jika peminat masih mengenali mereka dengan panggilan Kamikaze kerana genre muzik dibawakan oleh T-Rex masih berteraskan rock.

“Album ini dan judulnya sebenarnya mengandungi pelbagai cerita. T-Rex adalah penyanyi ketujuh yang dipilih terbabit dengan album ini.

“Enam penyanyi terdahulu gagal memuaskan hati saya dan akhirnya teringat untuk kembali bekerjasama dengan T-Rex. Penjiwaan mereka gagal dibandingkan dengan T-Rex,” katanya.

Rahmad berkata, lagu ini juga sudah tujuh tahun disimpan dan tujuh juga boleh didefinisi dalam pelbagai makna merangkumi percintaan dan ketuhanan.

“Paling menarik kedua-dua lagu dicipta Bob Ramada yang pernah menghasilkan lagu popular Kain Cinta Putih nyanyian kumpulan Putra.

“Dia pun dah lama tak menghasilkan lagu. Pada saya lagu ini tiada sentuhan muzik Kamikaze dan saya sendiri cuba elakkan perkara ini. Ia juga kali pertama T-Rex menyanyikan lagu genre balada Melayu,” katanya yang menganggap ini adalah gabungannya dan T-Rex.

Selain lagu, Rahmad mahu peminat menikmati bunyi ditampilkan yang dianggap berbeza daripada yang sedia ada.

“Peminat kita kena dengar kerana saya buat untuk capai satu tahap yang kalau boleh mencapai piawaian antarabangsa.

“Sudah tiba masanya muzik kita mencapai tahap yang baik dalam industri. Saya banyak bekerja di belakang tabir sebagai jururakam bunyi dan hairan kenapa mereka tak buat sesuatu lagu dengan baik. Kadang-kadang lagu sedap tapi pembikinan hancur,” katanya.

T-Rex yang meneruskan karier menyanyi di kelab dan gig mengakui rindu untuk kembali bertemu peminat.

“Saya tiada kumpulan lain selain Kamikaze. Setiapkali bertemu peminat, mereka pasti akan bertanya mengenai Kamikaze.

“Saya sendiri pun rindu dengan Kamikaze dan industri muzik. Diharapkan kemunculan semula ini mendapat sokongan penuh daripada peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 4:58 AM