AKSI persahabatan mengeratkan lagi hubungan antara dua negara.  FOTO: Ihsan MBM
AKSI persahabatan mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. FOTO: Ihsan MBM
Fairul Asmaini Mohd Pilus

UMUM mengetahui bahawa Malaysia dan Indonesia melalui fasa hubungan diplomatik yang cukup panjang serta unik.

Jika diteliti kembali dari sudut sejarah, jelas sekali bahawa hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara serumpun itu pernah berhadapan pelbagai cabaran dan polemik.

Justeru, sempena ulang tahun ke-72 penubuhan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan penubuhan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) ke-47 pada tarikh sama iaitu 23 Julai, sebuah Program Jaringan Muhibah di Wangsa Bowl, Kuala Lumpur.

Program itu membabitkan perlawanan boling persahabatan yang disertai wakil gabungan MBM diketuai Naib Presidennya, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz dan wakil KNPI diketuai Ketua Badan Perwakilan KNPI Malaysia, Tengku Adnan Tengku Azlan.

Setiausaha Agung MBM, Hasnul Hariff Harun berkata, usaha itu adalah simbolik kepada keakraban kedua-dua negara yang berkongsi tarikh ulang tahun sama.

PERLAWANAN boling persahabatan MBM dan KNPI sempena Program Jaringan Muhibah.  FOTO: Ihsan MBM
PERLAWANAN boling persahabatan MBM dan KNPI sempena Program Jaringan Muhibah. FOTO: Ihsan MBM

Katanya, pihak MBM dan KNPI mempunyai hubungan yang cukup erat melalui pelbagai program kerjasama seperti Dialog Malaysia-Indonesia (MALINDO), Sidang Meja Bulat berkenaan isu sejagat, misi kemanusiaan antarabangsa, program kesukarelaan, kebudayaan, sukan dan banyak lagi.

"Program ini diadakan susulan pertemuan perwakilan KNPI di Malaysia bersama barisan kepemimpinan MBM pada 8 Julai lalu di Kuala Lumpur.

"Hasil pertemuan berkenaan beberapa kesepakatan diterima antaranya mengukuhkan persahabatan belia kedua-dua negara melalui aktiviti sukan.

"Selain itu, program bilateral 'Food Festival/MALINDO Street Food' dan pelbagai jenis perniagaan lain bagi membantu pergerakan aktiviti belia MBM dan KNPI juga akan diadakan di bawah kelolaan Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan MBM bersama Biro Keusahawanan KNPI," katanya.

Menurut Hasnul, pihak terbabit juga sepakat mengadakan program Dialog Malaysia-Indonesia (MALINDO) yang dihoskan KNPI tahun depan selepas bebas pandemik Covid-19.

PEMENANG bersama hadiah disediakan.  FOTO: Ihsan MBM
PEMENANG bersama hadiah disediakan. FOTO: Ihsan MBM

Katanya, penganjuran program Sister City antara badan gabungan MBM bersama badan gabungan KNPI juga akan diadakan.

"Pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi impak cukup besar di mana Malaysia dan Indonesia tidak terkecuali dari menghadapi cabaran dalam sektor ekonomi, sosial, pelancongan, sumber tenaga dan sebagainya.

"Dalam konteks gerakan belia dalam menangani isu berkenaan, MBM dan KNPI akan menggunakan peranan mahu pun pengaruhnya melalui Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC)

untuk bersama pertubuhan belia di rantau Asean bagi menggerakkan pelbagai usaha untuk menangani masalah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:20 AM