KERETA Mercedes 280S tahun 1969 (kiri) dan kereta jenama Morris MG YA tahun 1947 yang menjadi tumpuan pengunjung di rumahnya. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
KERETA Mercedes 280S tahun 1969 (kiri) dan kereta jenama Morris MG YA tahun 1947 yang menjadi tumpuan pengunjung di rumahnya. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
Muhamaad Razis Ismail

"SAYA minat kumpul barangan antik kerana tertarik dengan fungsi dan cerita di sebaliknya," kata pengumpul barang antik, Azmin Aziz, 57.

Bekas pegawai di sebuah pasar raya ini sangat teruja bercerita mengenai semua koleksi barangan antik yang dikumpul di kediamannya di Seksyen 7, Shah Alam sejak 30 tahun lalu.

Antara barang yang dimiliki termasuk peralatan dapur, pertukangan, peralatan kebun, kereta antik, gambar lama, lampu lama dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, beliau turut mengumpul barang peninggalan arwah bapanya yang memiliki nilai sentimental tersendiri kepada dirinya termasuk lesen memandu, kad pengenalan dan sebagainya.

Beliau turut memiliki kemahiran untuk membaik pulih sendiri barangan antik yang diperoleh untuk tatapan generasi kini.

Azmin berkata, dia meminati barangan antik kerana keunikan seni dan fungsinya.

AZMIN (kanan) dibantu anaknya menyiapkan papan tanda. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
AZMIN (kanan) dibantu anaknya menyiapkan papan tanda. FOTO: Ihsan Azmin Aziz

Katanya, orang dahulu bijak dan kreatif dalam menghasilkan barangan untuk kemudahan mereka sendiri

"Hampir semua barang lama yang saya temui memiliki fungsi tertentu dan ia dihasilkan untuk tahan lama.

"Setiap barang yang dihasilkan ada cerita menarik di sebaliknya yang perlu diketahui generasi sekarang.

"Sebagai contoh, saya ada cangkul lama yang menggunakan batang yang melengkung tidak seperti sekarang. Tujuan ia dihasilkan sebegitu untuk memudahkan proses menggali tanah tanpa menggunakan tenaga yang banyak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, arwah bapanya sendiri, Tan Sri Abdul Aziz Zakaria juga turut minat menyimpan dan membaiki sendiri barang lama.

"Saya boleh katakan minat terhadap barangan antik bermula daripada bapa sendiri. Dahulu kami hidup susah dan barang yang rosak akan dibaiki sendiri kerana kesempitan hidup.

ALAT pengukus pau yang digunakan penjual pada zaman dahulu. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
ALAT pengukus pau yang digunakan penjual pada zaman dahulu. FOTO: Ihsan Azmin Aziz

ALMARI moden yang dibina sendiri. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
ALMARI moden yang dibina sendiri. FOTO: Ihsan Azmin Aziz

"Atas sebab itu, ia mengajar saya untuk menghargai setiap barang peninggalan arwah bapa sehingga kini kerana ia adalah sebahagian nostalgia kepada kami adik beradik," katanya.

Tambahnya, pencarian barangan antik dilakukan ketika menziarah saudara-mara atau menghadiri kenduri di kawasan kampung.

"Biasanya saya akan berada sekejap sahaja di khemah kenduri dan akan ke belakang rumah untuk mencari barang lama.

"Saya pernah terjumpa tempat membanting padi di Negeri Sembilan yang tertanam dalam tanah. Barang itu saya beli dan dibawa pulang ke rumah sebelum diubah menjadi meja," katanya.

Kini, kediamannya boleh dikatakan sebagai muzium peribadi apabila terdapat ruangan khas menyimpan pelbagai koleksi barangan antik yang diperoleh di seluruh negara.

Beliau turut menjadikan barangan antik ini sebagai sebahagian dekorasi di dalam rumahnya.

ALAT perah tebu (kiri) dan cangkul zaman dahulu antara koleksi berharga dalam simpanannya. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
ALAT perah tebu (kiri) dan cangkul zaman dahulu antara koleksi berharga dalam simpanannya. FOTO: Ihsan Azmin Aziz

Azmin juga sedia menerima kehadiran pengunjung untuk melihat sendiri koleksi barangannya.

"Saya mahu memberi peluang kepada lebih ramai orang terutama golongan muda untuk menghargai sejarah, budaya dan kesenian menerusi barang antik," katanya.

Katanya, koleksi barang antik itu tidak dijual kepada sebarang orang.

"Sebelum dijual, saya akan 'siasat' pembeli itu untuk pastikan dia benar-benar akan menghargai atau menjaganya sebaik mungkin seperti yang saya lakukan," katanya.

Ditanya penerimaan keluarga, Azmin bersyukur isterinya, Norzairin Zainol, 50, sentiasa memahami dan memberi sokongan terhadap minatnya itu.

"Anak-anak juga menunjukkan minat sama. Malah sekiranya ada masa terluang mereka akan membantu saya di bengkel," katanya.

Mengulas lanjut, kini dia banyak meluangkan masa berada di bengkel di belakang rumah sama ada melakukan kerja baik pulih barang antik atau kerja kayu.

"Di mana sahaja saya terjumpa kayu balak terbuang, saya akan bawa balik untuk hasilkan sesuatu. Kini saya sedang hasilkan congkak daripada kayu terbuang," katanya.

AZMIN (tengah) bersama ahli keluarga. FOTO: Ihsan Azmin Aziz
AZMIN (tengah) bersama ahli keluarga. FOTO: Ihsan Azmin Aziz

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:00 AM