NAJEMI dibantu anaknya, Irfan Fahmi ketika bertukang dalam musim PKP. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin
NAJEMI dibantu anaknya, Irfan Fahmi ketika bertukang dalam musim PKP. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin
Nurul Husna Mahmud

KAYU palet antara pilihan kebanyakan pemilik rumah untuk mencipta perincian perabot dalam ruang kerana material berkenaan dikatakan mampu milik selain boleh memberi pesona kayu dalam tatarias ruang dalaman.

Selain mudah didapati, tekstur dan warna kayu berkenaan turut digunakan kebanyakan pemilik rumah terutama di luar negara untuk dijadikan perabot atau aksesori hiasan.

Tidak hairanlah ia menjadi ikutan peminat perabot lakukan sendiri (DIY) tempatan.

Peminat dan pembuat perabot kayu palet, Mohd Najemi Baharin, 38, menyifatkan material berkenaan menjadi pilihan dia serta isteri, Naimah Md Ludin kerana mempunyai keunikan tersendiri.

"Lebih 80 peratus perincian di ruang dapur basah yang turut menempatkan ruang penyimpanan pelbagai fungsi atau ruang kerja.

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu saya memanfaatkan waktu bekerja dari rumah dengan 'terapi' kerja pertukangan bersama anak lelaki saya, Irfan Fahmi yang turut mempunyai minat sama.

TATARIAS dapur basah menelan belanja RM2,000. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin
TATARIAS dapur basah menelan belanja RM2,000. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin

"Pembaharuan dilakukan pada ruang dapur basah yang juga terletak pada ruang terbuka di bahagian belakang, selain menambah baik rekaan kabinet dan rak pinggan, saya tambah kabinet untuk stor selain wujudkan ruang pelbagai fungsi pada bahagian berkenaan.

"Saya ada reka pintu kabinet menyimpan barang boleh ditukar kepada meja bar untuk ruang makan tambahan jika ada kenalan atau rakan berkunjung. Meja saya buat sendiri sementara kerusi ditempah daripada rakan," katanya.

Meskipun baru dua tahun aktif dalam kerja pertukangan kayu palet, kata Najemi, dia tidak kekok bertukang apabila minat dan pengalaman lalu iaitu pernah mengikut arwah bapa, Baharin Aziz bertukang rumah orang di Baling suatu ketika dulu.

"Bercerita mengenai hasil kerja tangan saya, sebenarnya sejak 2018 apabila berpindah ke rumah sendiri di Taman Desa Kenanga Kupang, Kedah, keinginan bertukang kembali membuak-buak kerana minat itu sudah lama dipendam cuma tiada ruang untuk melakukannya.

"Sebaik berpindah ke rumah kami ini, ada ruang dan barang juga terutama kayu mudah didapati jadi saya mula dengan kerja membuat kabinet dan rak dapur basah. Selain itu, projek meja kayu juga antara perabot saya hasilkan.

NAJEMI bangga dapat hasil tatarias ruang bertemakan kayu palet untuk dapur di rumahnya. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin
NAJEMI bangga dapat hasil tatarias ruang bertemakan kayu palet untuk dapur di rumahnya. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin

"Selepas tatarias dapur basah, kerja pertukangan kayu palet diteruskan untuk meja belajar untuk anak. Ketika PKP pula, isteri membuat permintaan mahukan rak untuk simpan rempah-ratus menyebabkan idea dan kreativiti itu tercetus.

"Rekaan perabot selalunya bersandarkan keperluan dan cadangan isteri kerana dia rajin jenguk Pinterest. Saya hanya buat ikut kesesuaian dengan ruang selain sepadan dengan rekaan sebelum ini," katanya.

Katanya, bagi hasilkan ruang berkenaan termasuk dapur basah, dia hanya membelanjakan sekitar RM2,000 untuk peralatan selain kayu palet terpakai.

"Kalau beli atau upah orang untuk dapatkan hasil ini saya percaya boleh menelan belanja sehingga puluhan ribu kerana ruang ini bukan sahaja luas, tetapi kerja kemasan perlu dilakukan kerana ia membabitkan dapur basah.

"Tetapi, saya hanya belanjakan sekitar RM2,000 untuk hasilkan semua ruang ini termasuk pembelian kayu palet terpakai daripada kilang. Mula-mula dulu kutip, tetapi tidak banyak pilihan, jadi saya beralih dengan membeli yang terpakai.

RAK rempah-ratus antara sentuhan Najemi. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin
RAK rempah-ratus antara sentuhan Najemi. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin

"Meskipun banyak kerja iaitu mengetam dan kemasan mengecat perlu dilakukan, kualiti kayu masih menepati kehendak diperlukan pada penghasilan perabot dapur basah.

"Kalau beli kayu baru, kos untuk bahan itu sahaja boleh meningkat tiga hingga empat kali ganda. Pada saya tidak mengapa bekerja lebih sikit untuk dapat hasil yang berbaloi," katanya.

Katanya, berbanding projek kabinet dapur, kaunter bar untuk ruang pelbagai fungsi paling mencabar kerana dia perlu memikirkan bagaimana ruang itu dapat dimanfaatkan.

"Dalam banyak projek dihasilkan, rasanya kaunter bar itu paling mencabar. Selain menutup kabinet penyimpanan barang, ia boleh bertukar menjadi meja kerja atau meja makan apabila diperlukan," katanya.

Tambah Najemi, hasil kerja kerap dikongsi isterinya di Facebook mendapat maklum balas baik daripada peminat perabot kayu DIY sehingga ada yang mahu menempah.

Setiap kali dia menyiapkan kerja kayu, ruang itu akan dikunjungi keluarga, jiran dan kenalan untuk melihat secara dekat.

KEMAS kerja tangan Najemi. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin
KEMAS kerja tangan Najemi. FOTO: Ihsan Mohd Najemi Baharin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 7:00 AM