MURID mengambil makanan di Gerobok Rezeki.
MURID mengambil makanan di Gerobok Rezeki.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Rezeki setiap orang berbeza-beza begitu juga ujian yang dihadapi. Ada yang dilahirkan dalam keluarga senang begitu juga sebaliknya.

Bagi yang kurang bernasib baik ada terpaksa meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Di sini, keprihatinan dan pembabitan masyarakat sangat diperlukan supaya mereka mendapat pembelaan. Umpamanya menerusi pemberian bantuan terutama keperluan makanan.

Oleh itu, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Empire Project, Humanity, Kindness Malaysia dan Prelove for Charity mengambil inisiatif bekerjasama melancarkan Gerobok Rezeki di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Keramat (1), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Empire Project di bawah projek Food Bank pula memberikan sumbangan barangan makanan kepada 100 murid bernilai RM30 untuk setiap seorang.

Pengasas Kindness Malaysia Muhammad Kamarulazizi berkata, pemilihan sekolah berkenaan disebabkan kedudukannya di kawasan bandar dan mempunyai murid dikategorikan miskin bandar.

“Semua 100 penerima adalah asnaf dan kami mendapat senarai nama mereka daripada Baitulmal Kuala Lumpur dan pihak sekolah.

“SK Datuk Keramat (1) antara enam sekolah menerima manfaat daripada projek Food Bank yang setiap sekolah menerima bantuan barangan makanan dua kali setahun membabitkan 700 murid keseluruhannya,” katanya kepada Nuansa.

MUHAMMAD (dua kanan) melancarkan Gerobok Rezeki  di dewan SK Datuk Keramat (1).
MUHAMMAD (dua kanan) melancarkan Gerobok Rezeki di dewan SK Datuk Keramat (1).

Katanya, Gerobok Rezeki itu turut mendapat bantuan Baitulmal Kuala Lumpur dan akan dikekalkan di sekolah berkenaan.

“Ini sekolah kelima di Kuala Lumpur yang mempunyai Gerobok Rezeki. Sebelum ini, ia diwujudkan di masjid di ibu negara sebelum berkembang ke-50 masjid di seluruh negara.

“Gerobok Rezeki ini membolehkan murid mengambil barangan makanan disediakan untuk dibawa pulang ke rumah.

“Kami mengalu-alu masyarakat luar untuk sama-sama membantu menyumbang supaya lebih banyak barangan dapat disediakan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Datuk Keramat (1) Siti Zaharah Nawawi berkata, program berkenaan sangat baik kerana dapat membantu murid mendapat makanan mencukupi ketika di rumah.

“Tidak dinafikan ada antara murid yang dilihat keletihan ketika berada di sekolah kerana kekurangan makanan disebabkan kesempitan hidup.

“Seharusnya mereka mendapat makanan mencukupi supaya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya ketika di dalam kelas,” katanya.

Katanya, beliau akan menggalakkan murid yang berkemampuan dan guru untuk turut sama menyumbang kepada Gerobok Rezeki ini.

“Ini secara tidak langsung memupuk perasaan simpati kepada golongan kurang bernasib baik selain terdorong melakukan kerja kebajikan,” katanya.

MUHAMMAD, Pengurus Empire Projek Mohd Ashraff Khan Najib (kanan) dan Siti Zaharah melihat bungkusan makanan diterima murid.
MUHAMMAD, Pengurus Empire Projek Mohd Ashraff Khan Najib (kanan) dan Siti Zaharah melihat bungkusan makanan diterima murid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 1:05 PM