PESERTA yang mengikuti pertandingan.
PESERTA yang mengikuti pertandingan.
Fazurawati Che Lah

Suka duka kehidupan anak autisme dan keunikan satu perkampungan di China dirakamkan dalam video pendek menyaksikan tiga penuntut Universiti Limkokwing yang juga peserta tunggal Malaysia menang besar pada pertandingan Guiyang International Students Ocean Short Film Exhibition 2018, baru-baru ini.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan 29 universiti dari lapan negara yang menyertai pertandingan berkenaan.

Tiga penuntut itu adalah Raja Mohamad Amin Raja Azhar, Saidatul Nurlin Ahmad Hismanuri masing-masing berusia 25 tahun dan Edwin Tan Leng Phil, 26.

Mereka penuntut semester akhir Sarjana Filem, Digital dan Televisyen, sementara Edwin pula penuntut ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang yang sama.

RAJA Mohamad Amin (dua dari kanan), Saidatul Nurlin (kanan) dan Edwin (kiri) bersama penganjur selepas kemenangan.
RAJA Mohamad Amin (dua dari kanan), Saidatul Nurlin (kanan) dan Edwin (kiri) bersama penganjur selepas kemenangan.

Mereka memenangi empat kategori anugerah iaitu Sinematografi Terbaik, Pengarah Terbaik, Anugerah Paling Popular dan Anugerah Khas Juri, sekali gus merangkul juara pada pertandingan berkenaan.

Kemenangan itu lebih berharga apabila mereka ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di mana-mana universiti di Shanghai, China atau Melbourne, Australia.

Raja Mohamad Amin berkata, dia tidak menyangka kemenangan itu menjadi milik mereka kerana kebanyakan peserta hebat dan berpengalaman dalam bidang penghasilan video.

Katanya, ini adalah pertama kali mereka menyertai pertandingan seumpama itu dan tidak menyangka mendapat perhatian juri.

“Penyertaan atas dorongan pensyarah, Dr Li Qiao yang menghantar nama kami ke pertandingan berkenaan,” katanya.

RAJA Mohamad Amin ketika merakamkan video pendek ketika di China.
RAJA Mohamad Amin ketika merakamkan video pendek ketika di China.

Berkongsi pengalaman selama tujuh hari di sana, Raja Mohamad Amin berkata, mereka diberi pengetahuan budaya Guiyang, China dan dibawa ke beberapa tempat sekitar kawasan Guiyang untuk membina idea unik masing masing.

“Kami diberi tempoh 48 jam untuk menyiapkan satu filem pendek mengikut kreativiti sendiri. Saya sebagai ketua kumpulan mengambil tanggungjawab sebagai pengarah dan jurukamera, Saidatul Nurlin membantu sebagai pengurus produksi dan Edwin Tan sebagai penyunting untuk filem pendek kami,” katanya.

Pertandingan anjuran Universiti Sains dan Teknologi Qingdao itu turut disertai universiti dari seluruh negara termasuk Korea Selatan, Perancis, Jerman, Tanzania, Amerika Syarikat dan China.

RAJA Mohamad Amin dan Saidatul Nurlin bersama sijil dan trofi yang dimenangi.
RAJA Mohamad Amin dan Saidatul Nurlin bersama sijil dan trofi yang dimenangi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 11:59 AM