PESERTA bergambar di hadapan bangunan SCUT.
PESERTA bergambar di hadapan bangunan SCUT.
Fazurawati Che Lah


Belajar menulis menggunakan teknik kaligrafi Cina yang betul di bawah bimbingan pakar dari China adalah pengalaman sangat berharga buat 19 penuntut Universiti Malaya (UM) yang menyertai UM-SCUT Catalyst Project di Guangzhou, baru-baru ini.

Kunjungan kali kedua selama enam hari itu berlangsung di South China University of Technology (SCUT).

Selain mempelajari kaligrafi, kumpulan penuntut dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah itu juga diberi peluang mengajar bahasa Melayu dan memperkenalkan kepelbagaian baju tradisional Malaysia kepada pelajar antarabangsa.

Pegawai Kebudayaan Pusat Kebudayaan UM yang juga ketua delegasi, Aida Nurul Ain Abd Rahman berkata, kunjungan itu bagi merealisasikan program di peringkat antarabangsa bukan saja memberi manfaat jangka pendek kepada peserta, malah membawa nilai tambah kepada keseluruhan warga kampus UM.

“Program ini sangat unik kerana kami bukan saja berjaya mendalami secara dekat nilai dan budaya Cina, namun berpeluang membuat dokumentasi berkenaan lokasi bersejarah di Guangzhou,” katanya.

Peserta program, Gemine Yap Yi Jing, 21, berkata, kunjungan ke Guangzhou kali ini lebih menarik kerana peserta dapat berinteraksi dengan siswa dari Korea, Russia dan Vietnam.

PESERTA mempelajari seni pertahanan diri tradisi Cina.
PESERTA mempelajari seni pertahanan diri tradisi Cina.

“Selain berinteraksi bersama pelajar SCUT, kami berpeluang membantu menterjemahkan bahasa Cina kepada pelajar antarabangsa yang lebih memahami bahasa Inggeris.

“Kita juga mempunyai slot khas untuk mengajar bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa di sana,” katanya.

Bagi pelajar tahun kedua Pusat Kebudayaan, Chew Yee Hsuen, 22, dia begitu teruja kerana diberi peluang memperkenalkan kepel­bagaian baju tradisional negara kepada penuntut antarabangsa.

“Mereka memuji kepelbagaian ragam dan keindahan baju tradisional negara kita. Malah, kami juga berpeluang mengenali pakaian tradisional China, Korea dan Vietnam.

“Baju tradisional negara kita dipuji kerana kepelbagaian warna yang harmoni dan ceria ketika aktiviti dialog kebudayaan,” katanya.

Antara aktiviti menarik diadakan adalah kelas bahasa Mandarin, kaligrafi, ilmu pertahanan diri dan pakaian tradisional China.

Selain itu, pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan UM, Ho Jia Ler, 21, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mempelajari seni mempertahankan diri.

KELIHATAN peserta tekun mempelajari kaligrafi Cina.
KELIHATAN peserta tekun mempelajari kaligrafi Cina.

“Jika tahun lalu kami diajar satu ‘set’ rutin pergerakan Wushu, tahun ini pula berpeluang mempelajari gerak yang boleh digunakan wanita untuk mempertahankan diri.

“Walaupun gerakannya lembut, namun mampu mengalahkan musuh. Malah, tamparan yang didemonstrasikan Sun Jin Xiang sangat tangkas,” katanya selepas menjadi sukarelawan untuk sesi demonstrasi.

Pelajar antarabangsa turut diberi peluang mempelajari permainan tradisional dari Malaysia iaitu tarian kipas, tarian singa, akrobatik udara, persembahan api dan wayang kulit Cina.

Delegasi UM turut mengambil peluang melawat tempat menarik sekitar Guangzhou antaranya Dewan Ancestral Suku Chen, Dewan Peringatan Sun Yat-Sen, Taman Yue Xiu, Rumah Opera Guangzhou, Hai Xin Sha, Menara Canton dan Taman Lin Nan Yin Xiang.

NORSYZWANIS menunjukkan hasil kaligrafi.
NORSYZWANIS menunjukkan hasil kaligrafi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 1:45 PM