PENUNTUT UPSI bersama anak yatim.
PENUNTUT UPSI bersama anak yatim.
Ihsan Noorzali

rencana @hmmetro.com.my

Bagi memupuk rasa prihatin dalam kalangan mahasiswa, Kelab Sahabat Perpustakaan Tuanku Bainun (KSPTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program amal di rumah anak yatim Amal Budi Bistari di Rawang, Selangor.

Pengarah program, Carlos Rugu menganggap program kunjungan amal itu berupaya mendekatkan siswa dengan komuniti khasnya anak yatim.

Program itu dijalankan bertujuan mendedahkan anak yatim dengan nilai positif dan menerapkan sifat murni seperti amanah, tolong-menolong dan cintakan alam sekitar.

Program sehari yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada pentadbiran rumah berkenaan itu memupuk kreativiti anak-anak yatim dan mahasiswa melalui pelbagai aktiviti seperti permainan bahasa, sukaneka dan gotong-royong.

ANTARA aktiviti yang dilakukan oleh  anak yatim bersama penuntut UPSI.
ANTARA aktiviti yang dilakukan oleh anak yatim bersama penuntut UPSI.

Presiden KSPTB, Wan Nur Amira Wan Uliyah berkata, program sehari itu juga menjadi platform untuk mahasiswa menjalinkan hubungan dengan golongan berkemampuan dan mereka yang kurang bernasib baik.

“Program ini membuatkan peserta menginsafi bahawa anak yatim ini tidak memiliki keluarga yang lengkap dan menjalani kehidupan tanpa ibu, ayah, kakak, abang atau adik seperti insan lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, menerusi program itu memberi kegembiraan untuk mereka merasai kenikmatan berkeluarga.

Wan Nur Amira berkata, secara tidak langsung ia dapat memberikan kesedaran kepada siswa agar sentiasa bersyukur dan menghormati ibu bapa mereka.

PESERTA bersama anak yatim.
PESERTA bersama anak yatim.

Pada sesi penutup, ahli KSPTB dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) memberikan cenderahati kepada kanak-kanak untuk meraikan dan menggembirakan hati mereka.

Pengurus Rumah Anak Yatim Amal Budi Bistari, Aisyah Ghazali begitu berbesar hati dengan kehadiran mahasiswa UPSI itu.

“Pada kali pertama, penghuni rumah anak yatim ini dijemput untuk melawat UPSI dan diberikan pendedahan awal kepada alam universiti,” katanya.

Menurutnya, program yang dilaksanakan kelab berkenaan ternyata menggembirakan anak yatim sekali gus memberi semangat kepada mereka untuk belajar dengan lebih tekun hingga berjaya melangkah kaki ke menara gading.

WAN AMIRA (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Aisyah sebagai tanda kenangan.
WAN AMIRA (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Aisyah sebagai tanda kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 1:31 PM