Mahasiswa mengasah pemikiran anak madrasah dengan memberi fokus kepada pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Matematik.
Mahasiswa mengasah pemikiran anak madrasah dengan memberi fokus kepada pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Matematik.
Fazurawati Che Lah


KAMPUS universiti hampir sunyi, perjuangan mahasiswa pada semester ini sampai ke titik penyudah. Hampir semua kampus universiti awam (UA) selesai menjalani peperiksaan untuk semester ini dengan ahli akademik kini sibuk menyelesaikan proses semakan pemarkahan, manakala pentadbir tekun menguruskan pengesahan kemasukan markah serta proses kerja yang berkaitan.

BABITKAN dengan aktiviti kesenian mampu tingkatkan keyakinan.
BABITKAN dengan aktiviti kesenian mampu tingkatkan keyakinan.

Bagaimana pula dengan mahasiswa? Terus bergegas meninggalkan kampus kembali kepada keluarga tersayang atau menyertai teman bergembira dalam percutian? Apa pun rencananya, biarlah ia memberi manfaat untuk dibekalkan pada semester baharu nanti.

Satu perkara yang mahasiswa sedar cuti semester ialah ruang rehat mereka untuk bebas daripada peperiksaan, buku dan sebagainya.

RAMAI mahasiswa sekarang mengambil upah untuk mendapat wang bagi digunakan untuk semester baharu.
RAMAI mahasiswa sekarang mengambil upah untuk mendapat wang bagi digunakan untuk semester baharu.

Mengulas lebih lanjut, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ketika ini, mahasiswa tidak perlu lagi ke kuliah untuk mendapatkan maklumat atau input mengenai silibus atau subjek yang diambil.

Katanya, waktu kuliah adalah masa untuk perkongsian bersama dengan pensyarah yang terbabit dengan subjek dalam bidang masing-masing.

 HAMPIR semua universiti awam tamat peperiksaan untuk semester ini.
HAMPIR semua universiti awam tamat peperiksaan untuk semester ini.

“Pada masa itu juga, penting untuk mereka memberikan perhatian agar segala ilmu mampu diterjemahkan semula di atas kertas jawapan dan dinilai dengan gred peperiksaan.

“Bagaimanapun, mahasiswa perlu sedar realiti kehidupan hari ini untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidang kerjaya, mereka perlu juga memberikan tumpuan kepada perkara atau bidang yang bukan bersifat akademik, terutama kemahiran pada abad ke-21,” katanya.

Dr Mohammad Shatar berkata, abad ke-21 menginginkan mahasiswa memiliki kemahiran yang bukan sekadar diperoleh di dalam bilik kuliah tetapi juga di luar.

Oleh itu, katanya, cuti semester ialah waktu terbaik untuk mahasiswa mengambil peluang meningkatkan dan memantapkan kemahiran abad ke-21 yang amat diperlukan oleh majikan pada masa ini.

“Pada cuti semester ini, rebutlah sebanyak mana peluang untuk mengasah kemahiran terutama komunikasi dan kepemimpinan.

“Mereka boleh membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti kesukarelawanan seperti menyertai badan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau agensi kebajikan yang amat memerlukan remaja dan belia untuk bersama-sama membantu komuniti yang memerlukan.

“Pembabitan sedemikian dapat memantapkan dan menajamkan lagi kemahiran itu, pada masa yang sama juga mereka boleh meningkatkan usaha kesukarelawanan yang menjadi tumpuan majikan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai mahasiswa, pelbagai aktiviti kesukarelawanan boleh dilaksanakan, misalnya mengadakan tuisyen atau memberikan khidmat kepada masyarakat tanpa mengira golongan.

TERBABIT dengan aktiviti sukarelawan antara program cuti semester.
TERBABIT dengan aktiviti sukarelawan antara program cuti semester.

Selain meningkatkan kemahiran dalam bidang sukarelawan, katanya, mahasiswa boleh membabitkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

“Jadi, kesempatan cuti satu atau dua bulan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran di luar bidang akademik kerana bidang akademik telah pun diberi tumpuan semasa semester berjalan di universiti masing-masing,” katanya.

“Pada zaman ini, seorang pelajar yang berjaya perlu mempunyai keseimbangan antara kemahiran akademik dengan kemahiran abad ke-21 seperti mana yang sering disebut dan dinyatakan oleh majikan pada hari ini,” katanya.

Sumbangan majukan masyarakat, negara

Cuti semester sememangnya ditunggu-tunggu mahasiswa. Ini kerana selepas berpenat lelah menghabiskan masa bersama tugasan yang diberikan, masa inilah boleh digunakan sepenuhnya untuk berehat di rumah dan beriadah bersama keluarga.

Oleh itu, nikmat cuti semester ini adalah sesuatu yang tinggi nilainya bagi mereka. Namun timbul pula persoalan sejauh mana mahasiswa memanfaatkan cuti semester mereka?

Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Syahida Shafiron, sewajarnya mahasiswa memanfaatkan cuti semester dengan memberikan sumbangan yang dapat memajukan masyarakat dan negara.

Katanya, banyak kegiatan boleh dilakukan mahasiswa terutama membabitkan aktiviti kesukarelawanan seperti memberikan khidmat tuisyen percuma.

“Tidak semua orang mampu menghantar anak mereka ke pusat tuisyen berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat. Maka, wajarlah mahasiswa mengambil peluang ini untuk memberi sumbangan ilmu pengetahuan kepada masyarakat sekeliling,” katanya.

Bersesuaian dengan peranan mahasiswa sebagai harapan negara, Nur Syahida berkata, mereka boleh juga mengadakan aktiviti buku jalanan mengajak orang ramai untuk membaca, selain beramah mesra bersama dengan fakir miskin.

“Mahasiswa mampu mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik kerana ia bermula di tangan kita iaitu golongan intelektual demi melahirkan masyarakat yang berketerampilan,” katanya.

Bagi rakannya, Hakim Azman, 22, penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, seseorang mahasiswa yang bakal menerima segulung ijazah seharusnya memantapkan kemahiran insaniah.

Katanya, penuntut perlu memanfaatkan cuti semester dengan mencari kemahiran atau ilmu baharu yang dapat memberi input berguna.

“Cuba belajar kemahiran lain pada cuti semester seperti membaiki motosikal, kereta dan membaiki komputer, bukan saja memperoleh ilmu tetapi mereka juga dapat mencari sedikit pendapatan untuk menyara diri.

“Contohnya membaiki komputer, ilmu yang diperoleh pada waktu cuti dapat digunakan untuk membantu mahasiswa lain sebaik semester baharu bermula dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kampus,” katanya.

MAHASISWA boleh menjalankan perniagaan makanan pada cuti semester untuk dapatkan duit poket.
MAHASISWA boleh menjalankan perniagaan makanan pada cuti semester untuk dapatkan duit poket.

Mohammad Syafiq cari wang tambahan

Bijak mengambil peluang, cuti semester yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya sebilangan mahasiswa dengan mencari duit tambahan untuk digunakan pada semester baharu nanti.

Siswa semester enam Program Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohammad Syafiq Samsudin, 25, memilih menjalankan perniagaan minuman sebaik tamat peperiksaan, baru-baru ini. Dia menjalankan produk minuman kopi yang dinamakan Coffea di Pekan Langgar, Alor Setar.

“Sudah menjadi rutin setiap kali cuti semester atau hujung minggu, saya menguruskan perniagaan air ini memandangkan ia mudah dan menguntungkan.

“Tambahan pula, jarak universiti dan tempat berniaga tidak jauh, ia memudahkan saya untuk berulang-alik pada setiap hujung minggu,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, selain memperoleh wang tambahan, perniagaan itu juga membantu dia meningkatkan kemahiran insaniah terutama dari segi komunikasi setiap kali berdepan dengan pelanggan.

“Wajar pelajar menggunakan waktu cuti semester dengan pelbagai aktiviti bermanfaat mengikut minat yang ada. Contohnya berniaga, bukan saja kita memperoleh wang poket untuk perbelanjaan diri, sebaliknya kita juga mampu membantu keluarga,” katanya yang bercita-cita menjadi pegawai bank.

Bekas Exco Keusahawanan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inasis Grantt UUM dan juga bekas Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu mula minat berniaga sejak tiga tahun lalu.

Minuman yang dijual berharga RM2 hingga RM4 mengikut saiz cawan dengan menawarkan sebanyak 15 jenis perisa.

MOHAMMAD SYAFIQ melayan pelanggan di gerainya.
MOHAMMAD SYAFIQ melayan pelanggan di gerainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:32 PM