PENUNTUT Malaysia di Aceh mengumpul dana dan mengadakan program sumbangan kepada lebih 20 fakir miskin.
PENUNTUT Malaysia di Aceh mengumpul dana dan mengadakan program sumbangan kepada lebih 20 fakir miskin.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


‘TRIMONG Guenaseh’(terima kasih) anak. Itu luahan seorang nenek uzur berusia 70-an yang sebak sebaik menerima sumbangan pakaian dan makanan diberikan penuntut Malaysia di Aceh, Indonesia.

Wanita tua itu adalah antara lebih 20 golongan kurang berkemampuan di negara jiran itu yang diberikan bantuan oleh mahasiswa Malaysia di Aceh, Indonesia.

Jelas kesibukan kuliah selain menjalani ibadah puasa tidak membataskan usaha murni mahasiswa Malaysia berbakti di bulan Ramadan.

Ini dibuktikan apabila puluhan penuntut Malaysia berjaya mengumpul dana dan mengadakan program sumbangan fakir miskin kepada lebih 20 keluarga di kawasan Kampung Blangkreung dan Rukoh, Aceh, Sumatera.

SEBAHAGIAN daripada keluarga asnaf yang dirai berbuka puasa.
SEBAHAGIAN daripada keluarga asnaf yang dirai berbuka puasa.

Pengarah program, Anas Al-Kautsar Mohd Zaini berkata, program anjuran pihak Biro Dakwah dan Kerohanian dengan kerjasama Biro Akademik dan Pembangunan Modal Insan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Aceh sesi 2019/2020 itu bertujuan membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, penuntut Malaysia di negara itu berganding mahu mengumpulkan wang bagi membeli pelbagai barang keperluan bagi membolehkan golongan miskin ini dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Alhamdulillah dana dan pemberian barang terpakai dari orang ramai adalah medium utama pada program ini. “Kami mengumpulkan barangan keperluan ini dan diagihkan kepada masyarakat fakir miskin di kampung dikunjungi itu,” katanya.

Menurutnya, selain pemberian sumbangan, program ini turut diselitkan program iftar Jama’ie Bersama anak-anak yatim dan program singgah sahur.

“Program iftar ini yang diadakan di Mess Malaysia mendapat sumbangan dari orang ramai yang mana setiap anak yatim diberikan cenderahati dan wang tunai.

“Diharap program seumpama ini dapat dapat mengeratkan silaturrahim penuntut Malaysia di Aceh bersama anak yatim dan fakir miskin.

Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya turut menyokong penuh sebarang aktiviti dilakukan mahasiswa Malaysia di negara jiran itu melalui pemberian dana selain bantuan oleh aktivis Muslim Care Indonesia.

ANTARA tulang belakang program bantu golongan asnaf di Aceh.
ANTARA tulang belakang program bantu golongan asnaf di Aceh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:30 AM