DR TERMIZI bersama mahasiswa diploma FSM yang menjayakan program.
DR TERMIZI bersama mahasiswa diploma FSM yang menjayakan program.
Ihsan Noorzali


Kerajaan menggalakkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Sehubungan itu, baru-baru ini mahasiswa diploma Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjayakan program Komuniti Diploma Meets Community (DmC) di beberapa lokasi termasuk sekitar Slim River dan beberapa perkampungan Orang Asli.

Penasihat program, Dr Mohamad Termizi Borhan berkata, menerusi program itu, ia berjaya menampilkan pelbagai inovasi didik hibur bagi meningkatkan minat dalam STEM dalam kalangan murid orang Asli.

Menurut beliau objektif utama DmC adalah pembabitan penuntut UPSI seramai 32 orang mahasiswa Diploma dan murid-murid Orang Asli dari tiga sekolah di daerah Slim River.

“Mahasiswa yang bertindak sebagai pemberi khidmat kepada komuniti perlu memahami setiap perincian perkongsian ilmu yang ingin dilaksanakan kepada murid Orang Asli.

“Murid Orang Asli adalah sasaran program ini, yang direalisasikan secara kolaborasi di antara universiti, penyelidik, fakulti dan siswa serta komuniti Orang Asli bagi menyelesaikan keperluan pendidikan masyarakat.

“Justeru, kami mewujudkan penyelesaian inovatif untuk mengatasi permasalahan masyarakat berkaitan inovasi, menunjukkan peningkatan dalam literasi sains dan matematik dalam kalangan komuniti selain berhasrat meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan kesedaran pendidikan,” katanya.

MAHASISWA tekun menjalankan aktiviti bersama murid Orang Asli.
MAHASISWA tekun menjalankan aktiviti bersama murid Orang Asli.

Program yang dijalankan itu menggabungkan kaedah pembabitan komuniti dan pembelajaran bagi meningkatkan literasi STEM dalam kalangan komuniti murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village, SK Pos Bersih, dan SK Pos Tenau.

Ia membabitkan pelajar Diploma Sains, Diploma Teknologi Makmal dan Diploma Sains (Matematik) dalam mengaplikasi pengetahuan yang dipelajari untuk berbakti kepada masyarakat terutama dalam memberi perkhidmatan pendidikan komuniti dari FSM.

Ketua Pengarah Program Azneezal Ar-Rashid berkata, program berkenaan di bawah pemantauan projek berimpak tinggi Strategi Lautan Biru Kebangsaan NBOS4: Inisiatif Kerjasama Universiti (Program Transformasi Luar Bandar), Bahagian Jalinan Industri, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPSI.

Azneezal berkata, Diploma meets Community 1(DmC1): MyScience Fair di SK Pos Bersih, Ulu Slim, Perak yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Malaysia, Jamaluddin Kasbi menyaksikan pembukaan pameran berkonsep sains yang mudah difahami melalui aktiviti bersifat ‘hands-on’ dan ‘minds-on.’

Program Diploma meets Community 2(DmC2), MySchematic Clinic pula memberi fokus kepada literasi asas matematik dan mahasiswa bertindak sebagai fasilitator kepada murid Orang Asli untuk mengajar konsep pendaraban menggunakan manik berwarna.

Sementara program Diploma meets Community 3(DmC3), MySTEM Project yang berlangsung di SK Pos Tenau membabitkan dua kluster utama aktiviti iaitu #MySTEM Centre dan #MySTEM EduCamp yang membabitkan proses renovasi dan transformasi bilik gerakan pengawas kepada bilik interaktif STEM.

DR TERMIZI ( tiga dari kiri) bersama pegawai JAKOA.
DR TERMIZI ( tiga dari kiri) bersama pegawai JAKOA.

Program Diploma meets Community 4 DmC4), MySTEM Robotic pula menerapkan konsep asas robotik (MySTEM Robotic) yang dijayakan tiga kluster utama DmC iaitu MySTEM Centre, MySTEM EduCamp dan MySTEM Tenau.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak /Kedah, Harulnizam Abd Rahman berkata, konsep pembelajaran STEM yang diketengahkan program DmC selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Konsep pembelajaran didik hibur (pembelajaran menyeronokkan) yang diketengahkan program DmC sangat bersesuaian dengan keperluan murid dan pendekatan mentor mentee mendidik murid Orang Asli dilihat berkesan untuk meningkatkan konsep asas STEM dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, konsep STEM yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif, inovatif dan kritis semasa pembinaan model robotik tangan, kaki, kepak burung dan cacing adalah pemangkin kepada pembudayaan sains dan matematik di sekolah rendah.

“Penggunaan bahan mentah yang murah dan mudah didapati untuk pembinaan model robotik seperti straw, pelekat dan benang ialah alternatif yang sangat sesuai terutama untuk sekolah Orang Asli di pedalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:00 AM