BELAJAR berkumpulan salah satu cara menghadapi peperiksaan.
BELAJAR berkumpulan salah satu cara menghadapi peperiksaan.
Fazurawati Che Lah


Semestinya peperiksaan antara medium untuk mengukur keupayaan seseorang pelajar. Sebut saja peperiksaan, jelas terbayang di minda kita bagaimana buku dan nota penuh di atas meja.

Peperiksaan juga memerlukan suasana yang tenang tanpa gangguan dan pelbagai persiapan rapi mesti dilakukan.

Malah peperiksaan bakal menguji kompetensi kognitif dan kemahiran analitik selain soalan ditafsir penuntut sebagai menguji daya hafalan.

Namun begitu, apabila dikatakan universiti bukan hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata, tidak bermakna siswa dan siswi tak perlu memberikan fokus kepada hal ehwal akademik.

Berkongsi pandangan, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Dr Afandi Ahmad menjelaskan, siswa dan siswi perlu belajar bukan saja apa yang ada di dalam buku, malah mesti lebih daripada itu.

Katanya, hari ini sudah ramai mereka yang bergraduan dengan kepujian kelas pertama. Jika itulah semata-mata ukuran kejayaan, mampukah kejayaan ini seiring dengan kecemerlangan nilai kemahiran insaniah (KI)?

PENGAJIAN yang tiada tekanan berupaya dihabiskan dengan jayanya.
PENGAJIAN yang tiada tekanan berupaya dihabiskan dengan jayanya.

“Apalah erti jika pencapaian setiap semester CPA 4.0, tetapi diperoleh dengan cara yang tidak jujur? Apabila ditanya siapakah si polan itu, jawapannya dengan hanya gelengan kepala berkali-kali.

“Bayangkan jika semakin hari semakin ramai golongan tidak mahu ambil tahu ini wujud, apakah nasib kita semuanya?

Mengulas lebih lanjut, siswa seharusnya belajar melihat sesuatu perkara bukan hanya dengan mata, tetapi menerusi mata hati. Belajar berfikir bukan hanya dengan manfaat akal, tetapi melimpah-ruah bersama akal budi. Inilah yang dipanggil martabat universiti.

“Bagaimanapun, jika desakan gred semata-mata yang menjadi kegilaan, maka generasi ulat buku, generasi buta mata hati, generasi kosong tanpa akal dan budi akan terus berkembang serta membiak.

“Kebanjiran spesies ini dalam masyarakat perlu dilihat sebagai perkara yang sangat membimbangkan. Apabila hanya pencapaian akademik semata-mata menjadi ukuran, ramai yang menolak dengan mudah kerangka utama dalam pendidikan dan keilmuan iaitu integriti, adab serta berkat.

PEMBABITAN dalam aktiviti meningkatkan keyakinan.
PEMBABITAN dalam aktiviti meningkatkan keyakinan.

“Buktinya, jika terdahulu kita digemparkan dengan sindiket menjual ijazah doktor falsafah (PhD) palsu dan kegilaan menggunakan ‘Dr’ di depan nama, kini kita dikejutkan pula sindiket menjual ijazah palsu daripada universiti tempatan pada harga serendah RM1,000.

“Apakah maksudnya? Ini menunjukkan masing-masing hanya melihat nilai pada sekeping kertas yang dinamakan ijazah, tetapi bukan lagi melihat kepentingan kedalaman kandungannya,” katanya.

Malah katanya, jika sepanjang empat tahun di pusat pengajian, siswa dan siswi hanya menjadi kera sumbang dengan bilangan rakan di sekeliling yang sangat terhad, tidak cakna isu semasa maka ini tidak lagi relevan.

Katanya, mana mungkin dapat diselesaikan permasalahan yang kompleks sekiranya ruang lingkup percampuran siswa dan siswi sangat terbatas, hanya kuliah dan katil sahaja? Sedangkan penyelesaian masalah yang kompleks menjadi teras utama ciri diperlukan majikan kerana dunia pekerjaan semakin rencam.

“Sebagai lulusan institut pengajian tinggi, mereka mesti menjadi ahli komuniti yang lebih proaktif dan sentiasa sedia menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Jika siswa dan siswi hanya memikirkan diri sendiri, tidak pernah babitkan diri dalam gerak kerja kesukarelawanan, bersediakah kelak membantu masyarakat?,” katanya.

TEKANAN peperiksaan kerap dilalui siswa.
TEKANAN peperiksaan kerap dilalui siswa.

Jelas Dr Afandi, bagi menajamkan kemahiran penyelesaian masalah yang kompleks, penuntut tidak boleh terus duduk dalam kepompong keselesaan. Mereka mesti berani, merebut dan menghargai peluang selain sentiasa berfikiran secara kreatif serta kritis.

“Seawal tahun pertama pengajian, bukanlah masa untuk duduk goyang kaki berbulan madu, seronok berjauhan dan lepas bebas daripada keluarga.

“Sebaliknya, kenal pasti bidang tujah dan kebolehan diri serta mulalah merangka secara strategik perkara yang ingin dicapai,” katanya.

Beliau berkata, di pusat pengajian, terbuka luas pelbagai peluang keemasan. Untuk mahir menyelesaikan masalah yang kompleks, janganlah hanya pergi dan balik kuliah saja. Sebaliknya rebutlah peluang untuk menyertai secara bijaksana dan terkawal aktiviti di kolej kediaman, fakulti dan universiti.

“Tahun pertama, semua siswa dan siswi dimestikan menghuni di Kolej Kediaman, maka rebutlah peluang dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Inilah peluang untuk diasah kemahiran kepemimpinan, kerja berpasukan, komunikasi, merancang aktiviti, menguruskan kewangan dan pelbagai lagi kemahiran yang sangat membantu ke arah memperkasa kebolehan dalam menyelesaikan masalah yang kompleks,” katanya.

PENUNTUT perlu libatkan diri dengan aktiviti sosial.
PENUNTUT perlu libatkan diri dengan aktiviti sosial.

Malah jelas beliau lagi, menerusi kepelbagaian teman, aktiviti dan lingkup pergaulan dapat dilihat melalui pelbagai sisi yang berbeza serta menilai sesuatu perkara dengan penuh kebijaksanaan, inilah resipi kejayaan.

“Tapi, jika siswa dan siswi masih ingin terus selesa memencilkan diri tanpa apa-apa aktiviti, masa di pusat pengajian akan habis dengan penuh kerugian,” katanya.

Katanya, gedung ilmu adalah medan terakhir untuk mempersiap diri menghadapi dunia kehidupan sebenar sebagai ahli masyarakat yang begitu mencabar.

“Pelayaran begitu luas dan dalam. Manfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang untuk menambahbaik kekurangan diri serta merangka perancangan dan tindakan yang strategik.

“Agar usai pengajian kelak, dicampak ke langit akan menjadi bintang, dilempar ke laut pula menjadi pulau. Teruslah memberi kerana kita telah terlalu banyak menerima. Itulah universiti, yang mendidik tentang hikmah dan akal budi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 12:59 PM