PESERTA bergambar bersama penduduk selepas majlis tamat.
PESERTA bergambar bersama penduduk selepas majlis tamat.
Fazurawati Che Lah


PROGRAM Perkampungan Siswa (PERSIS 3.0) Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL MIAT) di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor berjaya merapatkan hubungan antara pelajar universiti dengan penduduk kampung.

Seramai 50 pelajar dan kakitangan mengambil bahagian dalam program tiga hari anjuran Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) yang menyediakan pelbagai pengisian berguna bersama penduduk.

Pengarah program, Muhammad Nazirul Iszat Ismail berkata, PERSIS 3.0 diadakan bertujuan untuk membina sahsiah pelajar, menyuntik nilai moral dan membina hubungan antara UniKL MIAT dengan masyarakat Kampung Sungai Choh.

“Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang menjayakan beberapa projek yang dirancang termasuk seminar Kaedah Mendidik Anak melalui Neuro Linguistic Programming (NLP).

“Penduduk kampung didedahkan dengan simulasi kebakaran dan cara memadamkan kebakaran yang dibuat pelajar Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UniKL MIAT selain mengadakan perlawanan futsal antara siswa UniKL MIAT bersama-sama belia Sungai Choh,” katanya.

DEMOSTRASI kebakaran yang dilaksanakan bersama penduduk.
DEMOSTRASI kebakaran yang dilaksanakan bersama penduduk.

Ahli Majlis Zon 17 Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Mohd Hafiz Idrus yang mewakili Ahli Parlimen Hulu Selangor menyempurnakan majlis penutup PERSIS 3.0.

Turut hadir, Timbalan Dekan Pembangunan Mahasiswa dan Gaya Hidup Kampus UniKL MIAT, Dr Hazariah Mohd Noh dan Ketua Kampung Sungai Choh, Shahrem Mat Jali.

Pelajar juga menyumbang khidmat bakti kepada penduduk kampung melalui aktiviti penghasilan mural, membina arca kapal terbang, tempat persalinan pakaian dan kerusi rehat di jeram Sungai Choh serta pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah terpilih selain sumbangan khas kepada ibu tunggal.

Menariknya, pada program kali ini, pelajar didedahkan dengan demonstrasi pembuatan pelbagai makanan tradisional Bengkulu yang hanya dapat dijumpai di Sungai Choh seperti kuih tat bengkulu, bobotok, bobokol dan ocong-
ocong.

Sementara itu, peserta program, Luqman Nur Hakeem Khairil Anuar berkata, program berkenaan sangat memberi kesan mendalam kepada penduduk kampung Sungai Choh dan pelajar UniKL MIAT.

“Kami bukan saja dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk kampung, tetapi juga berpeluang mempelajari budaya dan dapat merasai makanan tradisional Kampung Sungai Choh.

Sepanjang program dijalankan, penduduk kampung juga memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program PERSIS 3.0,” katanya.

ARCA kapal terbang yang siap dibina pelajar.
ARCA kapal terbang yang siap dibina pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 10:32 AM