Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak di Dewan Rakyat hari ini, menyaksikan cadangan tambahan 11 bahagian.

Najib berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menyiapkan laporan terbabit dan diserah kepada beliau pada 21 Ogos lalu.

"Daripada laporan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan jumlah Bahagian Pilihan Raya bagi negeri Sarawak ditambah 11 bahagian menjadikan jumlah keseluruhan 82 bahagian.

"Tiada perubahan dicadangkan bagi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan," katanya.

Bahagian pilihan raya yang baru ialah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Najib berkata, pertambahan bahagian pilihan raya ini akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Sarawak khususnya penduduk dalam kawasan bahagian pilihan raya negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 4:01 PM