Asrol Awang


Kuantan: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan beliau tidak menerima maklumat lengkap berhubung cadangan Umno Bahagian Pekan mencalonkan Datuk Seri Najib Razak sebagai calon Parlimen Pekan.

Bagaimanapun, beliau akan merujuk perkara itu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan penasihat undang-undang negeri.

'Setakat ini, saya tidak mendapat apa-apa maklumat dan saya akan rujuk kepada SPR dan penasihat undang-undang negeri sekiranya ada pencalonan," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramli yang menamakan Najib yang juga bekas Perdana Menteri, sebagai antara lima calon diketengahkan untuk Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media di Wisma Sri Pahang hari ini. FOTO Bernama.
DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media di Wisma Sri Pahang hari ini. FOTO Bernama.

Dalam kenyataan semalam, Zamri mengesahkan nama Najib antara lima calon dikemukakan bahagian itu untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan BN.

Najib yang juga penyandang kerusi itu kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atasnya berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada PRU-14, Najib mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas memperoleh kemenangan majoriti besar 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya di kerusi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 4:53 PM